Bersih tetap diteruskan, solidariti buat Maria Chin dan empat pemimpin lain - Shahrul
Khairunnisa Kasnoon
November 20, 2016 17:12 MYT
November 20, 2016 17:12 MYT
Bersih akan tetap meneruskan misi mereka turun ke jalanan ke arah pilihan raya yang adil dan pembaharuan institusi kerajaan.
Pemangku Pengerusi Bersih 2.0, Shahrul Aman Mohd Saari memaklumkan, perhimpunan Bersih akan terus diadakan meskipun tindakan keras dikenakan terhadap mereka yang menyaksikan empat pemimpin Bersih ditahan pihak berkuasa.
"Meskipun mereka (Maria, Mandeep, Safwan, Hishammudin) tiada di sini hari ini dalam sidang media ini, tetapi semangat mereka tetap bersama kami.
Kami sengaja biarkan kerusi mereka kosong menunjukkan agar kita rasakan semangat mereka bersama kita," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media yang diadakan pasca Bersih 5 di sini hari ini.
Mereka yang ditahan, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, jawatankuasa, Mandeep Singh, Safwan Awang dan Hishamuddin Rais dibawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Justeru, Bersih memulakan kempen untuk membebaskan pemimpin-pemimpin mereka dengan berkumpul di hadapan Balai Polis Jinjang bermula 8 malam ini sambil menyalakan lilin sebagai tanda solidariti.
Dalam perhimpunan yang berlansung pada Sabtu itu, Bersih mendakwa seramai 120,000 peserta turun padang memberi sokongan berbanding jumlah yang dianggarkan pihak polis seramai 15,500 orang.