Bersih Sungai Balun: Sultan Perak zahir penghargaan kepada Cikgu Ismail
Abd Razak Mohd Ali
Februari 17, 2021 10:41 MYT
Februari 17, 2021 10:41 MYT
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan terhadap guru Sekolah Kebangsaan Felda Besout 1, Ismail Mohd Zain yang menjalankan kerja-kerja membersihkan Sungai Balun.
Baginda bertitah, usaha membersihkan sungai itu daripada sampah sarap yang terperangkap bukan sahaja membantu pengaliran sungai bagi mengelakkan banjir.
Malah, titah baginda, ia turut membantu memelihara habitat pelbagai spesies hidupan air untuk membiak, seterusnya memberi rezeki kepada nelayan darat.
“Beta menzahirkan penghargaan atas sifat yang amat terpuji yang telah saudara Beta pamerkan.
“Bertugas sebagai seorang guru, saudara Beta telah menunjukkan teladan kepimpinan yang baik kepada profesion keguruan dan sewajarnya dijadikan contoh oleh warga dan pelajar-pelajar di negara ini,” titah baginda dalam Warkah Penghargaan kepada Cikgu Ismail.
Warkah bertarikh bertarikh 15 Februari 2021 itu ditandangani sendiri baginda dan salinannya diedarkan kepada media hari ini.
Pada 14 Februari lalu, akhbar Berita Harian melaporkan walaupun terpaksa bergelumang dengan lumpur, selut dan lintah, ia tidak menghalang Cikgu Ismail membersihkan Sungai Balun berhampiran Taman Slim Permata, dekat sini, seorang diri.
Ismail, 40 tahun, berkata selepas dibersihkan, air sungai menjadi semakin lancar mengalir ke Sungai Slim yang terletak kira-kira satu kilometer (km) dari sungai itu.
Sebelum itu, katanya, beliau perlu membersihkan rumpai di dalam air yang memerangkap banyak sampah-sarap yang terapung seperti botol, bekas plastik dan tong.
#Sultan Perak
#banjir
#sekolah
#guru
#nelayan
#Sungai
#bersihkan sungai
#sampah sarap
#terperangkap
#Cikgu Ismail
#Sungai Balun