BERSIH sokong pengumuman Akta Pendanaan Parti Politik

Faida Rahim
September 19, 2023 20:21 MYT
BERSIH berpendapat komponen akta pendanaan awam ini penting untuk meminimumkan pergantungan parti dan ahli politik kepada penderma korporat besar - Gambar fail/FB Bersih
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyokong pengumuman dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, bahawa Kabinet bersetuju untuk menggubal satu Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik.
Dalam satu kenyataan, BERSIH berharap Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) atau Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi dapat melibatkan semua pihak berkepentingan secara aktif sebelum rang undang-undang itu dibentangkan ke Parlimen.
"Pertubuhan masyarakat sivil yang sekian lama aktif berkempen dan mencadangkan butiran untuk Akta Pendanaan Politik perlu dilibatkan sama. Kami turut berharap akta baharu ini juga akan memasukkan komponen untuk pembiayaan awam untuk parti politik.
"Ini memastikan akta itu bukan sahaja akan mengawal selia cara parti mendapatkan pembiayaan tetapi juga menyediakan pendanaan awam berdasarkan peratusan undi mereka pada pilihan raya lalu serta dana khas kepada parti untuk menggalakkan perwakilan wanita di Dewan Rakyat." jelas kenyataan itu.
Sementara itu, BERSIH berpendapat komponen akta pendanaan awam itu penting untuk meminimumkan pergantungan parti dan ahli politik kepada penderma korporat besar, yang mungkin cuba mempengaruhi dasar kerajaan atau mempunyai akses kepada kontrak kerajaan secara tidak adil.
Terdahulu, Jemaah Menteri menetapkan tujuh pertimbangan ketetapan dasar berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) pendanaan politik antaranya mewujudkan undang-undang baharu bagi mengawal selia sumbangan politik.
Azalina berkata, perkara kedua adalah peranan pengawalseliaan dilaksanakan oleh sebuah badan berkanun Persekutuan sebagai entiti bebas dan berkecuali.
#Azalina Othman Said #Bersih #Akta Pendanaan Politik #kontrak kerajaan
;