BERSIH sasar 2 daripada 6 tuntutan dilaksana sebelum PRU15

Astro Awani
Ogos 28, 2022 12:15 MYT
BERSIH menyasarkan sekurang-kurangnya dua daripada enam tuntutan yang dibawa menerusi kempen ketuanan pengundi dapat direalisasikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
JOHOR BAHRU : Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyasarkan sekurang-kurangnya dua daripada enam tuntutan yang dibawa menerusi kempen ketuanan pengundi dapat direalisasikan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata, sasaran itu disifatkan lebih realistik untuk dicapai di peringkat awal memandangkan PRU15 dijangka diadakan bila-bila masa.
Dua tuntutan itu, kata Thomas, membabitkan gesaan menubuhkan Jawatankuasa Tetap Parlimen untuk memerhati dan menyelia perkara-perkara berkaitan pilihan raya di samping pengenalan terhadap Akta Perkhidmatan Parlimen.
"Ini penting dalam komitmen persefahaman dan kami harap kerajaan ada masa untuk meluluskan sebelum Parlimen dibubar tahun ini atau tahun depan, kerana ini akan membuatkan Parlimen berfungsi dengan betul seperti mana sepatutnya," katanya selepas menghadiri sesi Townhall dan Forum Ketuanan Pengundi, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir ke sesi forum itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perling, Liew Chin Tong serta Exco Pemuda UMNO, Noor Azleen Ambros.
Thomas, bagaimanapun menegaskan, BERSIH akan terus komited memperjuangkan tuntutan yang lain dari semasa ke semasa.
Sementara itu, Timbalan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya berkata, keenam-enam tuntutan yang disuarakan itu tidak hanya memfokuskan terhadap pilihan raya tetapi bermatlamat mengubah lanskap politik negara ke arah demokrasi yang lebih matang dan adil.
"Enam tuntutan yang BERSIH buat ini bukan tuntutan yang hanya relevan semasa PRU15 sahaja tetapi tuntutan ini sangat penting untuk kita pastikan tidak kira berapa banyak kali kita adakan pilihan raya dan beberapa banyak kali pun kerajaan bertukar, kita dapat pastikan institusi kita kekal stabil dan ia boleh dilakukan dengan adanya kesungguhan politik," katanya.
#Bersih #PRU15 #Parlimen #pilihan raya umum
;