Bersih puji reaksi positif Perdana Menteri terima gred D
Madiha Abdullah
November 21, 2024 06:45 MYT
November 21, 2024 06:45 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik reaksi positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap penilaian Gred D dalam laporan penilaian prestasi dua tahun Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, maklum balas positif yang disusuli iltizam untuk memperbaiki gred di masa akan datang, adalah gambaran keterbukaan Perdana Menteri dalam menerima kritikan.
Katanya, laporan prestasi tersebut adalah bersifat sementara dan kerajaan masih mempunyai tempoh tiga tahun untuk membuat penambahbaikan.
"Laporan tersebut memperakui sedikit kemajuan yang dicapai untuk reformasi institusi seperti meluluskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 dan memperkukuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selain agenda lain yang masih dalam proses libat urus," katanya dalam kemas kini di media sosial.
Justeru, Bersih menggesa kerajaan untuk melihat kembali agenda yang dijanjikan dengan lebih serius, memasuki tahun ketiga dan melaksanakannya sementara mandat masih berbaki.
Dalam laporan bertajuk Defisit Reformasi: Laporan Penilaian Pertengahan Penggal Kerajaan Perpaduan, Bersih memberikan gred D iaitu 45.8 peratus kepada Kerajaan Perpaduan sepanjang dua tahun mentadbir negara.
Perdana Menteri dalam reaksi balasnya menyuarakan rasa optimis bahawa pentadbirannya akan mencapai gred yang lebih baik pada masa akan datang.