Bersih mahu reformasi PSC dilaksana sebelum Julai 2022

Ridauddin Daud
Mac 5, 2022 19:22 MYT
Swee Seng ketika ditemui selepas menghadiri 'Media Workshop on Parliamentary Reforms in Malaysia' di Petaling Jaya pada Sabtu. - Foto Astro AWANI
PETALING JAYA: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) mahu reformasi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) dapat dilaksanakan selewat-lewatnya sebelum Julai ini.
Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng berkata, pihaknya sudah mencadangkan beberapa perubahan yang perlu dilakukan dan berharap ia diterima dan dilaksanakan secepat mungkin.
Jelasnya, antara reformasi dicadangkan adalah hasil mesyuarat dipaparkan kepada umum bahkan lebih baik sekiranya dibenarkan adanya siaran langsung pada setiap perjumpaan melibatkan Ahli Jawatankuasa.
Selain itu, Bersih juga mencadangkan kajian dan penggubalan terhadap terma rujukan yang memerlukan PSC merujuk kepada Dewan Rakyat atas setiap tindakan yang mereka ingin lakukan.
"Bersih cadangkan terma rujukan itu perlu dikaji dan digubal supaya mereka boleh menjalankan tugas mereka. Kalau mereka tak boleh, setiap isu kena dapat rujukan kepada Dewan, maka ini akan jadikan kekangan yang cukup besar untuk PSC berfungsi.
"Ia tidak praktikal. Kita perlu berikan kebebasan kepada jawatankuasa, kebebasan untuk panggil sesiapa untuk beri kenyataan.
"Tak perlu minta kebenaran Dewan Rakyat kerana mereka (jawatankuasa) perlu autonomi dan mempunyai kebebasan," katanya kepada Astro AWANI.
Swee Seng berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri 'Media Workshop on Parliamentary Reforms in Malaysia' di Petaling Jaya pada Sabtu.
Tegasnya, PSC perlu diberi kebebasan dan autonomi bagi memanggil sesiapa sahaja untuk memberi kenyataan sebelum maklumat itu dikongsikan kepada Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen kemudiannya boleh membuat keputusan.
Tambah Swee Seng, setakat ini tiada kawal selia terhadap Kementerian Sumber Manusia serta perkara berkaitan pilihan raya dan jelasnya, masih ada masa untuk mewujudkan PSC untuk kedua-duanya sebelum memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang tamat.
"Kita perlu reformasikan PSC kerana ia dianggap sebagai enjin kepada Parlimen. Ada banyak isu tidak boleh dibincangkan di Dewan Rakyat kerana ia memerlukan perbincangan mendalam dan memerlukan lebih masa untuk dapatkan maklumat.
"Adalah lebih berkesan kalau PSC kendalikan siasatan, pendengaran atau kajian dibuat oleh jawatankuasa pilihan yang lebih kecil.
"Mereka boleh ambil masa lebih panjang untuk dapatkan pandangan pakar atau pihak berkaitan," ujarnya lagi.
#Bersih #Yap Swee Seng #pilihan raya #PSC #reformasi Jawatankuasa Khas Parlimen
;