Bersih lantik Faisal Abdul Aziz sebagai pengerusi baharu
Nickyson Nyambar
Disember 15, 2023 22:10 MYT
Disember 15, 2023 22:10 MYT
KUALA LUMPUR : Bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Faisal Abdul Aziz telah dipilih sebagai Pengerusi Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang baharu, menewaskan calon kedua, Gopalan K Papachan.
Pelantikan Faisal itu adalah bagi menggantikan Thomas Fann, yang meletak jawatan bulan lepas.
Dalam proses pengundian yang berlangsung pada Jumaat, 15 Disember 2023, Faisal menang tipis ke atas Gopalan dengan perbezaan satu undi yang mana beliau memperoleh 23 undi berbanding 22.
Beliau akan berkhidmat sebagai ketua Bersih sehingga 2025.
Jawatankuasa pemilihan Bersih dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pengundian itu dilakukan secara dalam talian dengan wakil 45 daripada 61 badan bukan kerajaan (NGO) dalam gabungan Bersih membuang undi.
Muhammad Faisal adalah mantan Presiden ABIM dari tahun 2019 sehingga 2023 dan Timbalan Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) daripada 2018 sehingga ke 2020.
Beliau juga mantan Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) 2009-2011.
Beliau telah mendapat Sarjana Perundangan daripada Universiti Teknologi Mara dan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bersama Syariah.
Faisal telah memainkan peranan yang utama dalam pelbagai projek seperti Misi Penilaian Pelarian Palestin, serta membina jambatan bagi masyarakat yang lebih inklusif melalui Kempen Bangsa Malaysia semasa beliau menjadi Presiden ABIM.
Beliau menerimaPenghormatan Persekutuan atas sumbangan cemerlangnya.
Terlibat secara aktif dalam beberapa organisasi, termasuk inisiatif komuniti akar umbi yang dikenali sebagai Adab Youth Garage (AYG), Faisal juga merupakan Alumni Program Kepimpinan Pelawat Antarabangsa (IVLP), program pertukaran profesional yang bertujuan untuk pemimpin baru muncul.