'Bersih, jangan cabar Baju Merah' - Jamal

Anthea Yap
September 17, 2015 18:52 MYT
JAMAL: Jangan cabar kami. Jika Bersih hendak buat himpunan lagi, kita akan turun pada hari dan waktu yang sama. -Gambar fail
Himpunan Rakyat Bersatu sedia berhadapan dengan Bersih 4 sekiranya mereka berhasrat untuk mengadakan sebarang perhimpunan lagi pada masa akan datang.
Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata mereka akan berkumpul pada waktu yang sama dengan pihak Bersih untuk membuat perhimpunan.
"Jangan cabar kami. Kami dalam kalangan NGO jika Bersih hendak buat himpunan lagi, kita akan turun pada hari dan waktu yang sama," tegasnya dalam satu sidang media di lobi PWTC di sini.
Menurut beliau, perhimpunan yang diadakan semalam adalah respons balas kepada perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada 29 hingga 30 Ogos lalu.
Jelasnya, sekiranya Bersih tidak melakukan perhimpunan dan menghina pemimpin Melayu, himpunan baju merah itu tidak akan berlaku.
"Perhimpunan semalam tercetus kerana Bersih 4 mengadakan himpunan haram. Ini kerana kebiadapan daripada himpunan itu dan menghina pemimpin-pemimpin kami.
"Kalau kita tidak diasak, kami sudah terbukti sejak Merdeka sanggup berkongsi.
"Orang Melayu jangan dicabar," kata Jamal.
#bersih 4 #Himpunan Rakyat Bersatu #hina pemimpin melayu #perhimpunan
;