Bersih cadang maksimum 16 ahli dalam JPKP
Sinar Harian
Mac 22, 2023 07:15 MYT
Mac 22, 2023 07:15 MYT
SHAH ALAM: Pembentukan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) dengan komposisi sembilan orang ahli setiap jawatankuasa itu masih tidak mencukupi untuk melibatkan Ahli Parlimen backbencher kerajaan dan pembangkang, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih).
Menurut kenyataan dikeluarkan jawatankuasa Pemandu Bersih, sekiranya Parlimen ingin mengekalkan 10 JPKP dengan komposisi sekarang, sebanyak 67 Ahli Parlimen tidak akan berada di dalam mana-mana jawatankuasa, sekali gus menafikan peranan mereka sebagai pembuat dasar di peringkat JPKP atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Ia setelah mengecualikan empat jawatankuasa tetap lain yang menjaga hal ehwal dalaman Dewan Rakyat.
"Jika 10 JPKP ini ingin dikekalkan, adalah lebih baik komposisi di dalam setiap jawatankuasa ditambah sehingga maksimum 16 Ahli Parlimen.
"Alternatifnya, Parlimen boleh menubuhkan lebih banyak JPKP dengan memecahkan beberapa jawatankuasa bagi mengurangkan kementerian yang akan dipantau serta lebih berfokus," katanya pada Rabu.
Sebanyak 10 JPKP yang baharu diluluskan di Dewan Rakyat pada Selasa terdiri daripada Kewangan dan Ekonomi; Keselamatan; Kesihatan; Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan dan Kos Sara Hidup; Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi; Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia; Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat; Alam Sekitar, Sains dan Pertanian; Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa dan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi.
Dalam pada itu, Bersih mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan mengapa hanya 10 JPKP yang ditubuhkan dan mengapa komposisi JPKP tersebut tidak dimaksimumkan agar semua Ahli Parlimen persendirian dapat berada di sekurang-kurangnya satu jawatankuasa.
"Bersih juga berharap Pengerusi dan ahli-ahli yang akan berada di dalam JPKP akan diumumkan segera dan mencadangkan agar sebaiknya ahli pembangkang dilantik menjadi Pengerusi untuk JPKP ini.
"Komposisi di dalam JPKP juga perlulah seimbang dan mencerminkan komposisi Ahli-ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat," katanya. - Sinar Harian