BERSIH, Astro AWANI mahu tumpuan PRN kembali kepada isu tempatan
Firdaus Azil
Ogos 1, 2023 18:49 MYT
Ogos 1, 2023 18:49 MYT
KUALA LUMPUR: Semua kempen pilihan raya di enam negeri yang sedang berlangsung ketika ini harus kembali memberi tumpuan kepada isu tempatan, bukan menumpang populariti pemimpin di peringkat Persekutuan.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih Dan Adil (BERSIH) Thomas Fann berkata, beliau khuatir kempen yang terlalu menyentuh isu seperti 3R (Raja, Agama, Bangsa), ekonomi dan sebagainya akan mengakibatkan pengundi tidak mahu pulang melaksanakan tanggungjawab mereka.
Katanya lagi, jika naratif ini berterusan, BERSIH mengunjurkan jumlah keluar mengundi di enam negeri terbabit hanya di antara 59 hingga 64 peratus, dan akhirnya menyebabkan kerajaan negeri tidak terbentuk oleh suara majoriti.
Atas sebab itu, Fann berkata, pihak Bersih bersama-sama Astro AWANI, serta kumpulan-kumpulan masyarakat sivl, telah menganjurkan kempen #UNDILOKAL dan #VOTELOKAL untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan PRN bagi isu tempatan.
“Kempen #UndiLokal berhasrat untuk mengembalikan tumpuan kepada sebab sebenar kita mengadakan PRN dengan menarik perhatian pengundi kepada isu negeri dan tempatan.
"Hal ini penting memandangkan kerajaan negeri melantik ahli majlis, yang mana keputusan memberi kesan secara langsung kepada perkhidmatan, pembangunan, dan perniagaan tempatan kita.
"Pendek kata, PRN adalah penting kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kualiti hidup kita.
“Matlamat kempen #UndiLokal adalah untuk mendorong peratusan keluar mengundi lebih tinggi sebanyak 70 peratus atau lebih melalui naratif – jika anda mahu pengurusan perkhidmatan, pembangunan dan perniagaan tempatan yang lebih baik, undilah kerajaan negeri yang lebih baik,” katanya lagi.
'Bersih bersama Astro AWANI dengan ini menganjurkan kempen #VoteLokal bagi pilihan raya di enam negeri (6PRN) yang bakal menjelang.
"Tujuan utama kempen adalah untuk meningkatkan jumlah kehadiran pengundi di pilihan raya negeri kali ini."
Beliau berkata demikian kepada sidang media sempena pelancaran kempen #UNDILOKAL dan #VOTELOKAL, yang bertujuan bagi menggalakkan pengundi untuk keluar mengundi dan mempertimbangkan calon yang membangkitkan isu tempatan.
Mengulas lanjut, Fann berkata, Bersih berharap orang ramai dapat menyertai kempen ini dengan hashtag kempen #VOTELOKAL dan #UNDILOKAL bagi menyuarakan isu tempatan di kawasan mereka
Orang ramai digalakkan untuk menghasilkan poster, video TikTok dan YouTube, serta artikel mereka sendiri dan berkongsi menggunakan hashtag tersebut, selain menggalakkan rakan dan keluarga masing-masing di enam negeri ini untuk keluar mengundi
“Jadi kami sedang cuba memastikan kehendak rakyat dapat diterjemahkan dalam proses pembentukan kerajaan negeri ini.
"Kami memohon agar rakyat, serta kumpulan media dapat bekerja bersama-sama dengan kami.
"Kami benar-benar mahu kembali tumpuan kepada pembentukan kerajaan negeri,” katanya lagi.