'Bersih 7': Jamal, tolong jangan keruhkan lagi suasana - Nur Jazlan
Tan Su Lin
November 23, 2016 18:53 MYT
November 23, 2016 18:53 MYT
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menasihatkan Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos agar tidak mengeruhkan lagi suasana dengan penganjuran perhimpunan 'Bersih 7' oleh gerakan itu.
Jamal turut dinasihatkan agar tidak lagi mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan provokasi.
"Dia (Jamal) ini tak belajar lagi dari kesilapan yang lepas. Jadi saya nasihatkan dia tidak lagi mengeruhkan suasana. Apa yang berlaku pada hari Sabtu lepas adalah perkara yang diharapkan kerajaan supaya apa-apa demonstrasi untuk meluahkan perasaan itu dilakukan secara terkawal dan tidak berakhir dengan kekecohan."
"Jadi saya nasihatkan Jamal supaya tidak lagi mengeruhkan suasana dan tidak lagi mengeluarkan kenyataan, serta membuat perancangan untuk demonstrasi akan datang," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan penganjuran 'Bersih 7' yang melibatkan siri jelajah di lebih 700 lokasi di Selangor.
Himpunan yang dilancarkan hari ini di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam didakwa bertujuan untuk menyelamatkan negeri Selangor daripada kerajaan yang dipimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).