Bersih 5 undang campur tangan kuasa asing - Bastien

Wan Syamsul Amly
Ogos 4, 2016 07:36 MYT
BASTIEN: 'Bersih 5 undang campur tangan kuasa asing' - Gambar fail
Penganjuran perhimpunan Bersih 5 hanya mengundang campur tangan selain anasir kuasa asing dalam pentadbiran serta perundangan negara.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Bastien Onn berkata, ia sekali gus mencetus huru-hara serta mewujudkan pelbagai isu dan spekulasi yang memburukkan imej negara di mata masyarakat dunia.
"Saya merasakan siasatan oleh pihak asing mengenai 1MDB itu merupakan hak mereka dan mengikut undang-undang di negara mereka. Di atas semangat yang sama, mereka harus menghormati undang-undang di negara berdaulat seperti Malaysia.
"Saya ingin mempersoalkan tujuan penganjuran Bersih 5. Bersih 5 terdorong untuk dilakukan kerana mereka menolak undang-undang Malaysia dan mempercayai kuasa luar. Rakyat perlu melihat apakah yang terjadi kerajaan kepada Syria, Iraq, Libya.
"Kejatuhan Kerajaan dan kemusnahan negara tersebut berterusan sehingga kini kerana campur tangan asing," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Rabu, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin mengumumkan akan menganjurkan perhimpunan aman Bersih 5 susulan pendedahan yang dibuat Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) tentang dakwaan penyelewengan wang yang berlaku melibatkan 1MDB.
Bagaimanapun, tarikh, masa, tempat serta bentuk perhimpunan yang akan dibuat masih belum ditetapkan dan akan diumumkan kelak.
Pada Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tanpa kestabilan politik, ekonomi sesebuah negara tidak akan makmur dan berlaku huru-hara dalam dunia Islam sejak kebelakangan ini, khususnya seperti penaklukan Iraq yang mencetuskan rantaian kemusnahan.
Dalam pada itu tegas Bastien, kemusnahan secara total negara-negara itu akan mengambil masa yang cukup lama untuk dibina semula.
"Rakyat akan menjadi sengsara dan segala kemakmuran, kemajuan yang dicapai akan hilang dalam sekelip mata. Kita terpaksa mengambil masa yang lama untuk kembali membina rakyat yang bertamadun sekiranya ia berlaku di Malaysia.
"Adakah ini yang hendak kita capai? Sebab itu saya ingin bertanya kepada penganjur Bersih 5 apakah tujuannya? Menurunkan Najib? Sedarlah, Najib dipilih secara demokratik sebagai Perdana Menteri dan sekali lagi dipilih secara demokratik di dalam parti.
"Mereka yang menggelarkan diri mereka sebagai Bersih 2.0 adalah agen yang merosakkan sistem demokrasi di negara ini. Tindakan mereka seakan-akan mahu membunuh demokrasi yang subur di Malaysia," jelasnya.
Bastien turut berharap pasukan keselamatan akan menggunakan undang-undang yang ada untuk menggagalkan sebarang usaha membawa Malaysia ke arah kemusnahan.
"Yakin dan percayalah rakyat Malaysia akan menyokong apa jua tindakan bagi menyelamatkan negara ini.
"Cukuplah dengan Amerika Syarikat (AS) yang sedang menjalankan siasatannya di sana. Tidak perlu ada campur tangan asing di negara ini," katanya.
#BAstien #Bersih 2.0 #Bersih 5 #marina chin #najib #UMNO
;