Bersih 5 tetap berlangsung tanpa kehadiran Maria - Sekretariat Bersih

Astro Awani
November 18, 2016 22:57 MYT
Maria dan Mandeep dibawa ke Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya sejurus selepas serbuan berakhir dua jam kemudian. - Gambar fail
Penahanan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan Ketua Sekretariat Mandeep Singh tidak akan melunturkan semangat peserta untuk menyertai Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara esok.
Bersih 2.0 dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata tangkapan itu tidak akan merubah pendirian NGO tersebut malahan akan menguatkan lagi hasrat mereka untuk merealisasikan resolusi Bersih edisi kelima kali ini.
“Sekiranya pihak berkuasa berfikir akan menakutkan kami, ini tidak akan terjadi,” kata Bersih 2.0.
Maria dan Mandeep ditahan pada petang Jumaat dalam satu serbuan di ibu pejabat Bersih di Petaling Jaya,Selangor.
BACA: Bersih 5: Lima perkara anda perlu tahu
Dalam kejadian 3.12 petang tadi, 10 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman diketuai Asisten Superintenden Wan Aedil telah menyerbu masuk ke ke pejabat Bersih di bawah Seksyen 124 (C) Kanun Keseksaan berhubung dakwaan penerimaan dana OSF Soros.
Pihak polis telah merampas 10 telefon bimbit, kenyataan bank dan kad pengenalan pekerja Bersih yang sedang bertugas.
Maria dan Mandeep dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur sejurus selepas serbuan berakhir dua jam kemudian.
Maria ditahan di bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas cubaan menjejaskan demokrasi berparlimen dan Mandeep di tahan di bawah Seksyen 147 atas cubaan merusuh dan Seksyen 511 kanun yang sama.
Mereka akan dibawa ke mahkamah sesyen untuk perintah reman pada Sabtu.
Pada kira-kira 9.15 malam tadi, aktivis pelajar Anis Syafiqah Mohd Yusof, 24 telah ditahan di kediamannya di Petaling Jaya.
#Bersih 5 #Mandeep Singh #Maria Chin #Wan Aedil
;