Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) Datuk Seri Jamal Md Yunos bersama dua lagi pengikutnya ditahan reman empat hari bermula hari ini.

Perintah tersebut diperoleh di Mahkamah Majistret Ampang di sini, dan Majistret Mohd Izwan Mohd Noh turut mengeluarkan perintah tahanan reman terhadap dua aktivis NGO itu, Ariffin Abu Bakar serta Abdul Razak Hassan.

DI SINI ADA LAPOR LANGSUNG HIMPUNAN BERSIH 5 DI KUALA LUMPUR HARI INI

Penasihat Undang-undang Gerakan Merah Datuk Mohd Imran Tamrin berkata ketiga-tiga individu berkenaan ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 147/187/353 Kanun Keseksaan.

"Saya ingin memaklumkan pada 1.30 pagi tadi Datuk Seri Jamal ditahan oleh sepasukan polis IPK (Ibu Pejabat Kontinjen) Selangor berhubung insiden kekecohan di Ampang Point 13 Nov lepas.

"Dua lagi turut ditahan ialah aktivis gabungan NGO (Merah) Ariffin Abu Bakar dan Abdul Razak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ketiga-tiga mereka dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam.