Bersih 4: Tiada tangkapan, keadaan terkawal - Ketua Polis KL

Astro Awani
Ogos 29, 2015 10:42 MYT
Setakat jam 6 petang, tiada sebarang insiden berlaku dan tiada penangkapan dilakukan oleh pihak polis. -Astro AWANI
Perhimpunan Bersih 4 di ibu negara hari ini berlaku dalam keadaan tenteram dan peserta perhimpunan dilihat mematuhi arahan pihak berkuasa.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md Isa berkata, setakat jam 6 petang tiada sebarang insiden berlaku dan tiada penangkapan dilakukan pihaknya.
“Setakat ini pihak polis dapat mengawal dengan baik perhimpunan dari segi menjaga ketenteraman awam dan pengurusan trafik.
“Tiada penangkapan dibuat setakat ini, perhimpunan dilihat berlangsung secara aman,” kata Tajuddin ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, pihaknya telah merancang dan menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi sehingga menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin.
Tajuddin berkata orang ramai boleh meneruskan aktiviti harian seperti biasa dan dinasihatkan tidak melalui kawasan perhimpunan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.
#bersih 4 #Bersih 4.0 #Ketua Polis Kuala Lumpur #Tajuddin Md Isa