Bersih 4 terima derma lebih RM2.6 juta
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 6, 2015 15:42 MYT
Oktober 6, 2015 15:42 MYT
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) mendakwa menerima derma melebihi RM2.6 juta hasil daripada derma awam serta hasil derma melalui jualan kemeja-T serta mafla.
Bendahari Pemandu Bersih 2.0, Masjaliza Hamzah berkata sepanjang 1 Ogos sehingga 15 September lalu, Bersih 2.0 menerima derma awam sebanyak RM2,064,652.74.
Beliau berkata, pihaknya turut menerima derma menerusi hasil jualan kemeja-T Bersih 4 dan mafla masing-masing berjumlah RM553,914 dan RM28,795.
"Jumlah perbelanjaan Bersih 4 termasuk pra-perhimpunan dan perbelanjaan ketika perhimpunan adalah sebanyak RM664,052.52.
"Ini membawa kepada jumlah keseluruhan RM2,647,361.74. Jumlah perbelanjaan Bersih 4 termasuk pra-perhimpunan dan perbelanjaan ketika perhimpunan adalah sebanyak RM664,052.52," katanya di Pejabat Bersih 2.0 di sini hari ini.
Tambah Masjaliza, jumlah lebihan RM1,983,309.22 akan digunakan dalam program Bersih 2.0 untuk tempoh dua tahun akan datang.
Beliau berkata ia termasuk program pendidikan pengundi, kos mahkamah dan latihan.
Menurutnya lagi, pengumuman pembentangan akaun yang dibuat itu selaras dengan janji penganjur untuk membentangkan perbelanjaan sepanjang perhimpunan Bersih 4 berlangsung.