Bersih 4: Penganjur gesa larang guna vuvuzela pada hari kedua
Mariah Ahmad
Ogos 30, 2015 10:46 MYT
Ogos 30, 2015 10:46 MYT
Penganjur perhimpunan Bersih 4 pada hari ini melarang pesertanya untuk menggunakan vuvuzela bagi mengurangkan bunyi busing di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tun Perak dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
Pengerusinya Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah berkata ianya terlalu bising terutamanya ketika seseorang pemimpin sedang berucap dalam perhimpunan itu.
"Terlalu bising, saya pun tidak boleh tidur malam tadi. Pagi tadi pun masih ada yang menggunakan vuvuzela. Ianya akan menyebabkan kesukaran untuk penganjur mengawal keadaan yang sedia ada," jelasnya ketika dihubungi Astro Awani pada pagi Ahad.
BACA: [LAPORAN LANGSUNG] BERSIH 4: PERHIMPUNAN AKAN BERLANGSUNG SELAMA 13 JAM SEBELUM TAMAT
Tambah beliau lagi, keadaan ketika ini masih lagi terkawal dan pada jam 10 pagi tadi mereka baru sahaja selasai aktiviti-aktiviti rohani bersama peserta perhimpunan itu.
Ketika ditanya apakah tindakan yang akan diambil penganjur sekiranya ada peserta yang masih berdegil untuk menggunakan vuvuzela, beliau berkata hanya teguran yang akan diberikan kepada mereka.
Bersih 2.0 juga telah memuat naik satu status di Facebooknya pada lewat malam Sabtu yang menyatakan larangan penggunaan vuvuzela itu.
"Tolong jangan menggunakan vuvuzela pada esok (Ahad). Ianya akan menyukarkan kawalan keselamatan dan orang ramai serta menyebabkan ramai yang tidak selesa."
Perhimpunan Bersih 4 sudah masuk hari kedua pada Ahad dengan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku setakat ini.
Ramai peserta dilihat bermalam di sekitar Dataran Merdeka selepas berhimpun sejak jam 10 pagi, Sabtu.
Selain Kuala Lumpur, perhimpunan Bersih 4 turut diadakan di beberapa lokasi di Kuching dan Kota Kinabalu.
Walaupun pihak polis telah mengklasifikasikan perhimpunan Bersih 4 sebagai haram, namun tiada tangkapan dibuat setakat ini kerana demonstrasi dilaporkan berlangsung dalam suasana yang terkawal.