Bersih 4: Dua individu pijak gambar pemimpin negara serah diri di Bukit Aman
Bernama
September 7, 2015 19:06 MYT
September 7, 2015 19:06 MYT
Dua individu yang didakwa memijak gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika perhimpunan Bersih 4 di Dataran Merdeka pada 29 dan 30 Ogos lalu, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman bagi membantu siasatan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad mengesahkan penyerahan diri dibuat oleh dua individu berkenaan pada pukul 11 pagi ini.
"Dua individu yang serah diri itu merupakan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun dan seorang lelaki berusia 21 tahun yang bekerja sebagai penyelia di tapak pembinaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Zainuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua individu berkenaan.
Perhimpunan Bersih 4 yang berlangsung pada 29 dan 30 Ogos di ibu negara tercemar berikutan terdapat beberapa individu memijak gambar kedua-dua pemimpin berkenaan.
Sehubungan itu, polis pada minggu lalu menawarkan ganjaran kewangan kepada sesiapa yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya individu yang terlibat dalam insiden itu.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan sebanyak 267 laporan polis telah diterima berhubung kes pijak gambar dua pemimpin berkenaan pada perhimpunan itu.
#Bersih 2.0
#bersih 4
#Dataran Merdeka
#Datuk Zainuddin Ahmad
#Maria Abdullah
#Najib Razak
#Tun Mahathir