Bersih 4.0 Sabah tetap diteruskan - Penganjur
Ridzal Abdullah, Francis Maluda
Ogos 25, 2015 08:33 MYT
Ogos 25, 2015 08:33 MYT
Perhimpunan Bersih 4.0 di Sabah yang dijadualkan pada hujung bulan ini akan tetap diteruskan walaupun dihalang pihak polis.
Pengerusi Bersih 4.0 Sabah, Jannie Lasimbang berkata halangan itu tidak akan dapat mengubah apa-apa prinsip pihaknya untuk meneruskan perhimpunan pada masa sama menganggap ia melanggar hak asasi manusia.
"Kami tidak puas hati dengan apakah yang dikatakan oleh polis dan kami juga telah mendapat surat daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) hari ini (Isnin), Datuk Bandar mengatakan bahawa tempat ini tidak sesuai untuk program pesta demokrasi itu.
".... tanpa meminta penjelasan bahawa program ini adalah untuk rakyat biasa, untuk kami membuat beberapa aktiviti berkaitan seni dan beberapa aktiviti bersama belia, wanita dan rakyat secara bersama," katanya ketika ditemubual Astro AWANI di sini pada Isnin.
Jannie juga mengecam pihak berkuasa kerana menuduh mereka akan mencetuskan kekecohan sedangkan kawasan Tanjung Lipat, Kota Kinabalu adalah kawasan terbuka.
"Kami juga adalah orang awam. Tiada salahnya kami datang untuk ke tempat ini untuk menggunakan kawasan yang sudah sedia ada.
"Jadi ini telah melanggar undang-undang dan hak asasi manusia untuk berhimpun secara aman," katanya.
Sebelum ini, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abd Rahman mengeluarkan arahan untuk menghalang dan mengharamkan perhimpunan Bersih 4.0 atas alasan ia tidak memenuhi syarat.