Bersih 4.0: Mahkamah tetapkan 19 Feb untuk keputusan semakan kehakiman

Bernama
Februari 2, 2016 10:28 MYT
Terdahulu, dalam hujahannya, peguam Edmund Bon yang mewakili Maria Chin (gambar) memberitahu tiada bukti bahawa baju kuning Bersih 4.0 mampu mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara. -Gambar fail
Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 19 Feb ini untuk keputusan permohonan semakan kehakiman yang difailkan aktivis Maria Chin Abdullah berhubung larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan baju kuning Bersih 4.0 dan risalah mengenai perhimpunan itu.
Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Pada 18 Sept tahun lepas, Maria Chin yang merupakan penganjur Bersih 4.0, bersama dua yang lain iaitu Masjaliza Hamzah dan Fadiah Nadwa Fikri memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Menteri Dalam Negeri dan KDN berhubung perintah yang dikeluarkan di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 pada 27 Ogos tahun lepas.
Perintah itu menyebut larangan terhadap percetakan, pengimportan, pengeluaran, penerbitan, penjualan, pengedaran atau pemilikan mana-mana pakaian berwarna kuning dan yang mengandungi perkataan "Bersih 4" serta apa-apa bahan bercetak lain dan risalah yang membawa kepada perhimpunan Bersih 4.0.
Terdahulu, dalam hujahannya, peguam Edmund Bon yang mewakili Maria Chin memberitahu tiada bukti bahawa baju kuning Bersih 4.0 mampu mengancam ketenteraman awam atau keselamatan negara.
Beliau berkata pada masa sama, perhimpunan Bersih 4.0 yang dijalankan pada 29 hingga 30 Ogos tahun lepas juga berlangsung dalam keadaan aman.
"Menteri Dalam Negeri mengumumkan larangan terhadap pemakaian baju berwarna kuning pada 27 Ogos 2015 sedangkan perhimpunan itu dijalankan pada 29 Ogos 2015.
Bagaimana boleh buktikan bahawa perhimpunan itu akan memudaratkan keselamatan negara sebelum ia dijalankan?" katanya.
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan berkata, Menteri Dalam Negeri mempunyai kuasa di bawah Seksyen 7(1) akta itu untuk mengeluarkan arahan mengikut Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini)(NO.22) 2015.
"Jika menteri merasa ada kemungkinan mahupun sedikit kemungkinan kekecohan akan berlaku, menteri mempunyai kuasa untuk ban (larang) sebarang benda yang disyaki," katanya.
#Bersih 4.0 #Fadiah Nadwa Fikri #KDN #Kementerian Dalam Negeri #Maria Chin Abdullah #Masjaliza Hamzah #semakan kehakiman