Bersih 4.0 bakal mengundang kemarahan warga kota - Shahrizat

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 28, 2015 20:54 MYT
SHAHRIZAT: Mana-mana individu, terutama wanita yang mahu sertai Bersih 4.0 harus membatalkan niat mereka kerana dikhuatiri pelbagai ancaman.
Wanita UMNO bimbang perhimpunan Bersih 4.0 bakal mengundang kemarahan warga kota menjelang sambutan hari kemerdekaan.
Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata Malaysia ada undang-undang yang memberi peluang kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, tetapi kenapa mereka masih mahu membuat perhimpunan di jalanan?
"Kalau betul-betul tidak suka, pergilah tempat yang dikhaskan dan cakaplah apa yang mereka mahu cakap," katanya selepas program mengedar Jalur Gemilang kepada orang ramai di Kenangan Wholesale City Fashion Mall, hari ini.
Beliau yang juga merangkap Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita turut menggesa mana-mana individu terutama wanita yang mahu menyertai perhimpunan tersebut agar membatalkan niat mereka kerana dikhuatiri pelbagai ancaman atau perkara tidak diingini berlaku.
"Hari ini kita tengok ada kumpulan Bersih dan kumpulan anti-Bersih. Apa yang akan berlaku jika kedua-dua kumpulan ini bertembung? Adakah ini yang kita mahu? Mahu merosakkan satu-satu negara yang kita ada," katanya.
Tambahnya, jika sesiapa yang tidak berpuas hati dengan kerajaan hari ini, mereka boleh membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum akan datang, bukan dengan cara melakukan perhimpunan haram sebegini.
#Bersih #Bersih 4.0 #perhimpunan haram #Shahrizat Jalil #Wanita UMNO
;