Bersih 4.0 akan diadakan sekiranya SPR teruskan persempadanan semula - Ambiga

Teoh El Sen
Julai 13, 2013 18:57 MYT
Perhimpunan Bersih 4.0 akan tetap diteruskan sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memberhentikan proses persempadanan semula seperti yang dicadangkan.
Itu pendirian Pengerusi Bersama Bersih 2.0 Datuk S. Ambiga yang berkata perhimpunan itu merupakan satu-satunya cara untuk membolehkan suara rakyat didengari.
“Jika ia perlu (Bersih 4.0), ya. Ini adalah satu perkara yang serius.
“Kalau mereka meneruskan proses persempadanan semula tanpa membersihkan daftar pemilih, kami tidak menolak kemungkinan mengadakan perhimpunan Bersih 4.0 jika itu adalah satu-satunya cara untuk mereka mendengar suara kami,” kata Ambiga semasa satu seminar pasca PRU13 dianjurkan oleh Majlis Peguam hari ini.
Ambiga juga berkata Bersih 2.0 akan mengadakan kempen pendidikan yang pertama mengenai kesan persempadanan semula.
“Kita perlu mendidik dahulu...mereka mungkin akan memberi reaksi dan SPR mungkin akan membersihkan daftar pemilih,” katanya sambil menambah bahawa tiada tarikh yang ditetapkan untuk perhimpunan itu.
"Jika mereka melakukan persempadanan semula, kami akan meneruskan perhimpunan kerana mereka tidak mendengar rintihan kami,” katanya.
Menurut Perkara 113 (2) (ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan lapan tahun selepas kali terakhir ia dilakukan.
Kali terakhir ia dibuat di Malaysia adalah pada tahun 2003 kerana pada 2011 ia ditangguhkan bagi persediaan Pilihan Raya Umum ke 13.
#Bersih 2.0 #Bersih 4.0 #Datuk S. Ambiga
;