Bersih 2.0 mahu anjur perhimpunan, desak selamatkan negara
Astro Awani
Julai 29, 2015 18:15 MYT
Julai 29, 2015 18:15 MYT
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) muncul kembali dalam situasi semasa untuk mencanang sekali lagi desakannya mengenai pilihan raya dan kerajaan yang bersih, menyelamatkan ekonomi dan hak mengekspresi pandangan berbeza, selain mahu melancarkan siri protes umum seterusnya.
“Penyokong gabungan Bersih 2.0 perlu bersama-sama memberi tekanan kepada pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilihat perlu menjalani reformasi demi memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa,” kata kenyataan tersebut yang dikeluarkan hari ini.
Jawatankuasa Bersih 2.0 yang dipengerusikan Maria Chin Abdullah itu juga mendesak beberapa tindakan bagi mengembalikan kepercayaan umum dalam siasatan melibatkan syarikat pelaburan Negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagi mengembalikan keyakinan ke atas siasatan, kami mahu Najib memperincikan butiran akaun bank, bercuti daripada tugas sepanjang siasatan dijalankan, pembekuan akaun-akaun bank Najib termasuk isteri dan anak-anak, serta mendedahkan hasil siasatan 1MDB kepada umum secepat mungkin,” katanya.
Kenyataan berkenaan antara lain menyatakan keraguan tentang proses penamatan perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang dikhuatiri tidak mengikut Perlembagaan.
Selain itu, pelantikan empat anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga dipertikaikan Jawatankuasa Bersih 4, yang mendakwa penerimaan jawatan eksekutif tersebut sebagai ‘suatu pengkhianatan kepercayaan awam terhadap PAC untuk menyiasat isu 1MDB’.
Pengerusinya Datuk Nur Jazlan Mohamed dalam pengumuman Kabinet baharu pada Selasa telah dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Timbalan Menteri Luar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan) dan Datuk Wilfred Madius Tangau (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi).
“Perdana Menteri dan Timbalannya yang turut memegang dua portfolio paling berkuasa iaitu Menteri Kewangan dan Menteri Dalam Negeri menipiskan harapan siasatan bebas,” kata kenyataan itu.
Atas agenda perjuangan menggesa system pilihan raya dan pentadbiran yang adil dan bersih, Bersih 2.0 juga mengumumkan tentang perhimpunan jalanan Bersih 4 yang mahu dianjurkan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos nanti.