Bersiap sedia hadapi gempa bumi mega
Sinar Harian
Ogos 11, 2024 09:30 MYT
Ogos 11, 2024 09:30 MYT
SHAH ALAM: Rakyat Malaysia yang berada di Jepun mula membuat persiapan termasuk mendapatkan bekalan makanan susulan amaran gempa bumi mega oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA).
Konduktor pelancongan, Kamal Zharif Kamaludin, 37, yang menetap di Tokyo berkata, kerajaan Jepun sudah membuat pemberitahuan supaya rakyat bersedia dengan menyimpan makanan kering dan air.
Menurutnya, gegaran kecil turut dirasai di ibu negara berkenaan kesan gempa bumi susulan yang berlaku di wilayah berhampiran.
“Keadaan setakat ini terkawal dan amaran gempa bumi akan dikeluarkan pihak berkuasa bagi membolehkan orang ramai membuat persediaan. Bagi mereka yang berada di Jepun, maklu-man turut dihantar melalui talian telefon bimbit.
“Kejadian kali ini sebenarnya tidak diduga memandangkan sebahagian penduduk menjangkakan gempa bumi berskala besar sehingga lapan ke sembilan skala Richter diramalkan berlaku dalam tempoh 30 tahun lagi.
“Saya sendiri walaupun berada di Tokyo ada rasa sedikit gegaran tapi tidak cukup kuat dan tiada barang yang terjatuh dari rak. Bagaimanapun, persiapan tetap dibuat kerana situasi sebegini tidak boleh dijangka,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Kamal Zharif yang sudah 10 tahun menetap di negara berkenaan mengakui sudah beberapa kali merasai gempa bumi.
“Kebiasaannya, saya akan berada di rumah apabila gempa bumi berlaku dan mengikut panduan diberikan kerajaan seandainya keadaan menjadi teruk.
“Apabila berlaku gempa bumi, saya akan tutup kepala dengan bantal dan jika ada meja, saya akan bersembunyi di bawahnya. Namun, kalau tiada apa- apa yang sesuai untuk dicapai, guna tangan sahaja untuk melindungi kepala,” katanya.
Menurutnya, bagi persediaan kali ini, dia bercadang mencari makanan tahan lama seperti Energy Bar, makanan tin yang boleh dimakan terus dan nasi yang boleh dijamah sebaik dipanaskan.
“Dari segi peralatan lain, saya akan sediakan power bank yang dicaj penuh dan kit keselamatan serta peralatan lain bersesuaian,” katanya. - Sinar Harian