Bersemangat siapkan hantaran kahwin, sempat menjadi isteri, redha dipanggil Ilahi
Adie Sufian Zulkefli
Ogos 5, 2018 17:25 MYT
Ogos 5, 2018 17:25 MYT
KEREDHAAN dan kesabaran berdepan ujian pada 24 jam terakhir dalam hidup, mungkin menjadi yang terindah sepanjang hayat.
Mungkin itulah yang dirasai wanita yang hanya sempat menjalani hidup sebagai isteri sebelum kembali menghadap Ilahi akibat menghidap kanser tisu tahap tiga, dikenang sebagai seorang yang sentiasa bersemangat menyediakan persiapan pernikahannya meskipun menyedari tahap kesihatannya yang merosot.
Allahyarham Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24, telah dinikahkan dengan pasangannya Muhammad Saiful Azam Azmi, 25, pada Jumaat lalu (3 Ogos) di rumah pengantin perempuan di Taman Mahsuri, Jitra, Kedah.
Abang sulungnya, Hasrul Yusri Anuar Yusof, 39, berkata kesihatan adiknya itu tidak menentu namun arwah sentiasa positif dan bersemangat menyediakan kelengkapan perkahwinan seperti baju dan hantaran bersama suaminya.
Katanya, penyakit kanser tisu yang dihadapi adiknya mula dikenal pasti pada September 2017 dan sebelumnya telah melalui dua kali pembedahan untuk membuang ketumbuhan dan melakukan rawatan kemoterapi.
“Selepas majlis sarung cincin, keluarga pun ambil gambar macam biasa. Petang sikit lepas sembahyang Jumaat dia dah lemah balik dan penafasan dia pun (tidak stabil).
“Mesin oksigen yang digunakan tidak cukup kuasa, maka dia terus dirujuk semula ke Hospital Jitra. Di situ dia diberi bantuan pernafasan menggunakan mesin oksigen dengan kapasiti yang lebih tinggi,” kata Hasrul Yusri.
Tambahnya, keadaan pernafasan adiknya masih tidak stabil katanya kerana paru-paru yang sangat lemah.
“Malam itu, semua ahli keluarga rapat tunggu dia di hospital termasuk suaminya, Saiful Azam, hingga ke pagi. Kira-kira pukul 5.20 pagi, dia (Nur Syahirah) sudah pergi..,” ujarnya.
Tabah hadapi ujian
Sementara itu, adik kepada Nur Syahirah, Fatin Nur Izzati Yusuf, 23, memberitahu kakaknya sempat berpesan agar dirinya sentiasa tabah dan redha menghadapi sebarang ujian Allah.
Dia yang baru pulang daripada London tidak menyangka pesanan itu menjadi petanda bahawa pertemuan dengan kakaknya itu adalah untuk kali terakhir.
“Dalam keluarga ni, dia macam orang yang paling rapat dengan semua orang. Dia mengutamakan keluarga,” ujar Fatin Nur Izzati.
Dia yang suatu ketika banyak menjalani kehidupan di asrama mengakui arwah kakaknya itu menjadi pengikat hubungan mesra antara ahli keluarga di rumah.
“Maka, apabila perkara ini berlaku, semua orang rasa terkesan,” luahnya.
Kisah penikahan Fatin Nur Syahirah dan suaminya yang tidak sampai 24 jam menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi netizen. Rata-ratanya bersimpati dan kagum dengan ketabahan pasangan itu menempuh ujian.
Allahyarham Fatin Nur Syahirah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muttaqin Bandar Darul Aman, Jitra, selepas solat Asar petang semalam.
Bagaimanapun percubaan Astro AWANI mendapatkan reaksi suami Allahyarham gagal kerana masih dalam keadaan duka cita dan enggan memberi sebarang ulasan.
Bagaimanapun, menerusi pesanan, Muhammad Saiful Azam mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat negara ini yang mendoakan dirinya dan Allahyarham isterinya.