Berseluar dalam ropol tengah bandar, pelancong wanita China bikin kecoh di Sabah
Fifi Harteeny Marzuki
Ogos 27, 2018 22:11 MYT
Ogos 27, 2018 22:11 MYT
Para pelancong yang datang ke Sabah perlu peka dan menghormati budaya serta sensitiviti masyarakat tempatan, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah,Christina Liew.
Nasihat itu katanya, susulan gambar seorang pelancong warga China yang hanya memakai seluar dalam beropol ala bikini di pekarangan sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu.
“Pelancong harus faham sama seperti kita menghormati mereka untuk datang ke negeri ini dan mereka juga perlu menjaga tingkah laku mereka, ia baru berlaku semalam (Ahad) dan ini adalah isu sensitif.
“Saya rasa mereka tidak akan berjalan di pusat bandaraya di negara mereka dengan berpakaian seumpama itu dan kenapa mereka perlu melakukan perkara itu di negara kita,” katanya.
Baru-baru ini, netizen laman sosial Facebook kecoh selepas beberapa gambar seorang pelancong wanita dipercayai warga China yang hanya berseluar dalam bikini berjalan santai di tengah bandar.
Pelancong terbabit turut teruk di kecam netizen.