Bersedia awal hadapi musim banjir - Ahmad Shabery
Bernama
September 27, 2015 08:58 MYT
September 27, 2015 08:58 MYT
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengarahkan setiap jabatan dan agensinya supaya membuat persiapan awal bagi memastikan bekalan makanan mencukupi untuk dihantar ke kawasan terbabit jika berlakunya banjir menjelang November ini.
Menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata dalam pada itu, kementerian akan bekerjasama dengan beberapa kementerian berkaitan bagi memastikan bekalan itu dapat dihantar ke semua pusat perpindahan.
"Barangan makanan harian akan dihantar lebih awal ke setiap pangkalan hadapan untuk diagihkan ke semua pusat perpindahan banjir," katanya kepada pemberita semasa menghadiri program pertandingan memikat Burung Ketitir di Felda Nerang Satu di sini, Sabtu.
Selain itu, kementerian akan memastikan bekalan makanan yang dihantar ke pusat-pusat perpindahan adalah mencukupi bagi tempoh beberapa hari sebelum bekalan tambahan dihantar.
Ahmad Shabery juga meminta semua petani dan penternak di seluruh negara supaya meningkatkan hasil masing-masing sebelum berlakunya banjir bagi memastikan barangan makanan mencukupi.