Bersauh tanpa kebenaran, kapal tangki asing ditahan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 3, 2021 19:51 MYT
Hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Jabatan Laut Malaysia apabila diminta oleh anggota bot peronda Maritim. - Foto Maritim Malaysia
LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah kapal tangki yang bersauh tanpa kebenaran di posisi 14.7 batu nautika Pulau Pangkor kira-kira 3.20 petang semalam.
Pengarah Maritim Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot peronda yang sedang melaksanakan Op Benteng dan Op Pintas di sekitar perairan Pulau Pangkor sebelum itu mengesan sebuah kapal yang sedang bersauh seterusnya membuat pemeriksaan ke atas kapal terbabit.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh oleh Jabatan Laut Malaysia apabila diminta oleh anggota bot peronda Maritim.
“Kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda dan dibantu oleh 25 orang kru, kesemuanya warga China telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, nakhoda dan ketua jurutera kapal seterusnya dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Shahrizan memberitahu, pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana disyaki melakukan kesalahan menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan di 3.9 batu nautika tenggara Pulau Jarak, Rabu lalu.
Menurutnya, bot terbabit yang dikendalikan seorang tekong dan dua orang kru kesemuanya warga Thailand telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen.
“Tekong dan kru serta bot ditahan dengan hasil tangkapan dianggarkan 200kg itu diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu Setiawan Perak bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” ujarnya lagi.
#bersauh tanpa kebenaran #Maratim Malaysia #Pulau Pangkor #Op Benteng
;