Bersauh secara haram, empat kapal tangki ditahan di perairan Johor
Muhammad Aiman Hakeem
Julai 14, 2022 11:00 MYT
Julai 14, 2022 11:00 MYT
KOTA TINGGI: Empat buah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Tanjung Sedili, kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor Timur, sejak 7 Julai lalu.
Pemangku Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, empat kapal yang ditahan menerusi Op Jangkar Haram itu dikendalikan 43 kru termasuk nakhoda, terdiri daripada warga Indonesia, Myanmar, Thailand dan Singapura.
Katanya, kesemua mereka berusia di antara 24 dan 64 tahun serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kapal pertama ditahan berdaftar dari Zanzibar, di kedudukan 15 batu nautika timur Tanjung Lompat, pada jam 10.15 pagi 7 Julai.
"Kapal kedua, ditahan pada jam 3 petang di kedudukan 27 batu nautika timur Tanjung Sedili Kechil, pada 8 Julai, berdaftar dari Bangkok.
"Manakala kapal ketiga yang ditahan berdaftar dari Malaysia di kedudukan 16 batu nautika timur laut Tanjung Penawar pada jam 5.30 petang pada 10 Julai.
"Kapal tangki keempat yang ditahan pada jam 11.50 pagi semalam di kedudukan 12.5 batu nautika timur Tanjung Lompat berdaftar dari Singapura," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Menurut Mohd Najib, kesemua kapal tangki itu ditahan setelah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Ketua Pengarah Laut Malaysia ketika pemeriksaan dilakukan.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
"Penahanan kapal yang keempat semalam menjadikan penahanan ke-25 untuk kes seumpama itu bagi tahun ini.
"Justeru, pemilik atau pengusaha perkapalan dinasihat mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia dan mengikut peraturan, atau segera beredar, kerana Maritim Malaysia tidak akan berkompromi serta tindakan yang lebih tegas akan diambil," tambahnya.