Bersatu sambut baik pelaksanaan Undi18 - Wan Saiful

Astro Awani
April 29, 2021 15:16 MYT
Wan Saiful kekal menyokong usaha-usaha kerajaan Perikatan Nasional dan keputusan terkini Kabinet untuk melaksanakan Undi18. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seharusnya menyelesaikan sebarang kekangan terhadap pelaksanaan Undi18 dengan segera.
Wan Saiful berkata, ia merupakan satu usaha untuk mengiktiraf hak dan kebolehan golongan muda dalam negara.
“Golongan muda mempunyai pemikiran politik yang berbeza. Mereka tidak terikat dengan bebanan sejarah yang menghantui ramai ahli politik lain.
“Mereka juga tidak begitu terikat dengan afiliasi kepartian yang tetap,” katanya dalam satu entri pada laman Facebook rasminya.
Mengulas lanjut, jelas Wan Saiful, ia akan menyumbang kepada pertimbangan yang rasional apabila membuat keputusan politik, sekali gus menghasilkan persaingan politik antara parti yang lebih baik dan lebih sihat.
“Saya kekal menyokong usaha-usaha kerajaan Perikatan Nasional dan keputusan terkini Kabinet untuk melaksanakan Undi18,” katanya.
Sebelum ini, Takiyuddin berkata kerajaan memberi jaminan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun sedang diusahakan agar ia dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
Katanya, perkara itu dibincang dan disahkan dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu.
#Undi 18 #Wan Saiful Wan Jan #Suruhanjaya Pilihan Raya #Perikatan Nasional #PN #Takiyuddin Hassan
;