Bersatu salur RM1 juta untuk Tabung Bantuan Mangsa Banjir 2021 - Muhyiddin

Firdaus Azil
Disember 19, 2021 11:44 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejurus selesai Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu, jentera parti akan turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa banjir.
KUALA LUMPUR : Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung hari ini tidak dapat dielakkan, kerana ia adalah kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.
Bagaimanapun, Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sejurus selesai perhimpunan, kesemua jentera parti akan turun ke kawasan terjejas untuk membantu mangsa banjir.
Ketika berucap merasmikan PAT Bersatu di ibu negara hari ini, bekas Perdana Menteri itu berkata, Bersatu akan menyalurkan dana permulaan RM1 juta untuk Tabung Bantuan Mangsa Banjir 2021.
"Di awal ucapan saya ini saya ingin melahirkan rasa dukacita di atas bencana banjir yang sedang melanda negara kita pada masa ini. Hujan lebat yang bermula semalam dan berterusan sampai hari ini telah menyebabkan beberapa buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, dan Wilayah Persekutuan ditenggelami air.
“Ramai juga terkandas, kenderaan mereka juga rosak kerana dimasuki air dan sebagainya... kesemuanya memerlukan kita mengeluarkan dan memberikan perhatian untuk mebantu mangsa mangsa banjir yang terlibat ini,” katanya lagi.
Awal hari ini media melaporkan, lebih 14,000 mangsa banjir berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dengan Pahang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 5,189 orang pagi ini.
Selain itu, Jabatan Metereologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan sangat lebat berterusan tahap bahaya diramal berlaku hari ini di beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Perak, Pahang dan Selangor.
#Muhyiddin Yassin #Presiden Bersatu #mangsa banjir #tabung bantuan mangsa banjir
;