Bersatu padu, bekerjasama jaga keamanan dan kestabilan negara - Sultan Pahang

Bernama
Jun 1, 2024 16:50 MYT
Al-Sultan Abdullah bertitah hanya dengan perpaduan yang utuh dan kerjasama jitu, kedaulatan negara dapat dipertahankan. - Foto Kesultanan Pahang
KUANTAN: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menyeru semua pihak untuk terus bersatu padu dan bekerjasama dalam menjaga keamanan dan kestabilan negara.
Al-Sultan Abdullah bertitah hanya dengan perpaduan yang utuh dan kerjasama jitu, kedaulatan negara dapat dipertahankan selain mengingatkan semua pihak agar jangan mudah bertindak melulu dan sentiasa rasional dalam membuat tindakan.
"Marilah kita bersama-sama memelihara dan mempertahankan nikmat keamanan yang kita kecapi hari ini. Ingatlah, kita kongsi udara yang sama, langit biru yang sama dan bumi yang sama," titah baginda semasa menyempurnakan Istiadat Perbarisan Sempena Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Ke-66 di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Sultan Pahang di Pangkalan Udara Kuantan pada 9 pagi diiringi Tengku Panglima Raja Brig Jen Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan disambut Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Menerusi titah diraja itu, baginda turut mengingatkan warga TUDM agar terus komited membangunkan tahap kesiapsiagaan peralatan dan modal insan seiring dengan keperluan kuasa udara masa kini dan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055.
Al-Sultan Abdullah yang juga Kolonel Yang DiPertua TUDM bertitah, pada era teknologi yang pesat berkembang, penting bagi pasukan itu meningkatkan kesiapsiagaan dalam mempertahankan kedaulatan negara yang mana ancaman baharu dunia hari ini turut menuntut TUDM sentiasa berinovasi dan memperkukuhkan keupayaan pertahanan.
"Beta yakin dan percaya dengan semangat juang yang tinggi dan sokongan padu semua pihak, TUDM akan terus maju berjaya dalam mengharungi 1001 cabaran yang mendatang," titah baginda.
Baginda bertitah parameter tanggungjawab TUDM kini bukan sahaja tertumpu kepada pertahanan ruang udara, malah merupakan tulang belakang dalam usaha sama mengukuhkan benteng di Zon Maritim serta daratan Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.
"Pada hemat beta, pasukan yang sentiasa terbang tinggi di angkasa raya ini bukan sahaja sebuah angkatan udara tetapi adalah simbol keberanian, integriti dan dedikasi. Oleh itu, teruslah terbang membawa panji-panji keamanan demi kedaulatan tanah air supaya terus terpasak teguh di bumi bertuah ini," titah baginda.
Sultan Pahang turut menzahirkan penghargaan kepada pejuang yang telah gugur semasa mempertahankan negara dan bertitah bahawa jasa serta pengorbanan mereka akan dikenang sepanjang zaman.
Seramai 23 pegawai dan 418 anggota diketuai Lt Kol Ahmad Zikri Azhar terlibat dalam istiadat perbarisan sempena Hari Ulang Tahun TUDM yang bertemakan 'Kuasa Udara, Perisai Kedaulatan Negara' itu.
Istiadat perbarisan berkenaan turut disertakan dengan terbang lintas pesawat TUDM melibatkan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk, pesawat angkut A400M dan C-130H, helikopter EC 725 AP dan AW 139 serta pesawat latihan PC-7 MK II.
-- BERNAMA
#Sultan Pahang #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia #TUDM #keamanan dan kestabilan negara
;