Bersatu NS buat laporan polis berhubung individu maki Tun Mahathir di laman sosial

Bernama
September 23, 2018 06:22 MYT
Laporan polis dibuat kerana kenyataan pemilik akaun berkenan yang bersifat tohmahan dan provokasi terhadap Dr Mahathir dilihat jelas dapat mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Perdana Mentari. - Gambar fail
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan pada Ahad membuat laporan polis berhubung tindakan seorang pemilik akaun laman sosial memaki Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Eddin Syazlee Shith berkata laporan polis dibuat kerana kenyataan pemilik akaun berkenan yang bersifat tohmahan dan provokasi terhadap Dr Mahathir dilihat jelas dapat mendatangkan ancaman keselamatan terhadap Perdana Menteri.
"Perbuatan beliau juga jelas bersifat perkauman boleh menggugat integrasi nasional dan secara langsung ianya dibuat untuk menjejaskan perpaduan yang ada bagi masyarakat berbilang kaum di negara kita.
"Kami minta supaya perbuatan ini disiasat di bawah Kanun Keseksaan dan di bawah mana-mana peruntukan yang bersesuaian, dan kami minta dia dipanggil untuk memperjelaskan serta bertanggungjawab atas perbuatannya, " kata beliau kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Seremban 2 yang turut disertai 50 anggota parti tersebut di sini, malam ini.
Eddin Syazlee yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia membuat laporan polis selepas pemilik akaun laman sosial itu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Dr Mahathir.
-- BERNAMA
#Bersatu #keselamatan #laman sosial #Mahathir Mohamad #Malaysia #Negeri Sembilan #Perdana Menteri #PPBM
;