'Bersatu kerap guna sentimen Melayu, tetapi bodoh dan takut-takutkan rakyat' - Amirudin

Hilmi Malik
November 26, 2023 18:01 MYT
Ujar Amirudin, perkara itu hanya menjadi bahan berulang yang dimainkan oleh Bersatu sebagai usaha menarik perhatian majoriti dalam negara ini. - Bernama
PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari menempelak Bersatu yang dilihat hanya menggunakan sentimen orang Melayu dengan bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat.
Ujarnya, perkara itu hanya menjadi bahan berulang yang dimainkan oleh Bersatu sebagai usaha untuk menarik perhatian majoriti dalam negara ini.
Tegas Amirudin, PKR sebagai sebahagian parti dalam kerajaan katanya tidak hanya tertumpu kepada orang Melayu sebaliknya turut mengutamakan semua bangsa dalam negara ini.
“Istilah liberal, istilah 'tidak Melayu' itulah yang diulang termasuk kata-kata Muhyiddin (Presiden Bersatu) ketika Persidangan Bersatu bahawa 'Melayu telah hilang kuasa', hanya itulah yang diulang kerana mereka jadikan ini sebagai alasan untuk tarik perhatian majoriti.
“Kita nak angkat orang Melayu, nak julang orang Melayu bukan dengan ugutan, bukan dengan ketakutan dan perlu dengan fikiran yang terbuka dan rasionaliti dan ilmu pengetahuan… bukan dengan propaganda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Kongres PKR 2023 di sini, pada Ahad.
Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor turut berkata, tidak guna berbicara soal bangsa jika pemimpin tertinggi tidak ‘turun padang’ melihat sendiri masalah yang dialami rakyat.
Beliau dalam masa sama menjadikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut melihat isu yang tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab beliau.
“PM (Anwar Ibrahim) bukan hanya turun ke majlis rasmi tetapi turun ke tandas, turun ke sekolah jadi inilah contoh Melayu dalam karya sastera bukan sebut nama Melayu tetapi bodoh dan takut-takutkan orang Melayu,” katanya lagi.
Tambah Amirudin, beliau akui ini antara cabaran yang perlu didepani PKR namun pihaknya yakin ahli-ahli parti mampu memperjuangkan isu berkenaan dengan ilmu pengetahuan dan jauh lebih rasional.
“Bila bercakap mengenai orang Melayu, kita (PKR) perlu ada keyakinan dan berani untuk lawan dengan ilmu pengetahuan. Kita perlu bawa ilmu pengetahuan kerana itulah yang ditonjolkan Perdana Menteri menerusi majlis ilmu,” jelasnya lagi.
#Melayu #Bersatu #Amirudin Shari #PKR #politik
;