Bersatu boleh semak dan imbang UMNO dalam Perikatan Nasional

Firdaus Azil
Julai 9, 2020 15:06 MYT
UMNO ada pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir negara, namun parti itu masih mempunyai masalah dari segi integriti, kata Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil.
Kehadiran Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Malaysia perlu dilihat oleh rakyat sebagai pemegang peranan semak dan imbang UMNO dalam pentadbiran negara, kata Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersati, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil.
Beliau berkata, tidak dapat dinafikan bahawa UMNO yang mengetuai Barisan Nasional (BN) mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam mentadbir negara, namun parti itu masih mempunyai masalah dari segi integriti.
Atas sebab itu, Wan Mohd Shahrir, yang juga Pengerusi Bersatu Pahang berpendapat, rakyat, khususnya pengundi Melayu adalah lebih kritikal pada masa kini dan gabungan tiga parti Melayu terbesar negara itu merupakan satu pilihan baharu untuk mereka.
"Ada mazhab atau school of thoughts dalam yang berpendapat, UMNO perlu memegang status quo...mereka perlu jadi parti yang dominan, sedangkan realitinya pengundi berbeza dengan zaman dahulu. Mereka sudah melihat apabila satu parti diberikan mandat, fokus pada itu (mandat) saja, satu mandat dominasi Melayu itu, mereka ada kecenderungan untuk salahguna.
"Saya berpendapat pengundi kita pun tak bersetuju bahawa UMNO tidak ada check and balance. Dengan kehadiran PAS dan Bersatu, setidaknya bagi pengundi Melayu mungkin, mereka melihat ini merupakan satu sistem untuk check and balance UMNO," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Sejak kebelakangan ini beberapa pemimpin UMNO telah menzahirkan sokongan secara terbuka agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kembali ke pangkuan parti itu.
Malah ada yang mencadangkan agar Ahli Parlimen Pagoh itu diangkat menjadi presiden kepada parti itu.
BACA: Muhyiddin perlu kembali, diangkat sebagai Presiden UMNO - Nazri Aziz
BACA: UMNO sokong Muhyiddin sehingga habis penggal, namun ... - Ahmad Zahid
BACA: Muhyiddin masuk UMNO, bagai sirih pulang ke gagang - Tajuddin
Mengulas lanjut, Wan Mohd Shahrir berkata, pendaftaran Perikatan Nasional (PN) perlu dilakukan seberapa segera sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum yang dikatakan semakin hampir.
"Sebaik Perikatan Nasional dah sah sebagai sebuah perikatan atau gabungan politik yang didaftarkan, dan boleh bertanding di bawah satu logo, maka kita mempunyai sebulan dua untuk mempromosikan benda ini
"Pengundi perlu tahu siapa yang ada dalam PN, contohnya UMNO, Bersatu, Pas, GPS, ini kita akan buat road show untuk terangkan, hanya ada PN dan PH. Itu saja pertembungan yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum,” kata beliau lagi.
#Astro #Barisan Nasional #Bersatu #Muhyiddin Yassin #Parlimen #Perdana Menteri #pilihan raya umum #UMNO #Wan Mohd Shahrir
;