Bersara 60 tahun: Kita setuju buat masa ini - Cuepacs
Hilal Azmi
Oktober 13, 2016 17:04 MYT
Oktober 13, 2016 17:04 MYT
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) setuju dengan keputusan kerajaan untuk mengekalkan usia persaraan wajib kakitangan awam pada usia 60 tahun.
Presidennya, Datuk Azih Muda bagaimanapun memberitahu kerajaan perlu melihat semula keputusan ini di masa akan datang.
"Cuepacs sentiasa positif dengan keputusan ini kerana cadangan perlanjutan usia persaraan dari 60 tahun ke 62 tahun adalah untuk mengekalkan penjawat awam yang mahir dalam memastikan agenda serta perancangan kerajaan menjadi sebuah negara maju dan pengisiannya tidak terbantut.
"Jadi, untuk masa akan datang kerajaan harus melihat cadangan ini secara lebih positif agar anggota-anggota perkhidmatan awam yang berbakat tidak dibiarkan begitu saja," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Katanya lagi, terdapat beberapa sektor dalam kerajaan masih memerlukan mereka yang pakar dan berpengalaman untuk terus memberikan perkhidmatan mereka antaranya di sektor akademik, kehakiman dan juga sains dan teknologi.
Sebelum ini Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa menegaskan usia persaraan wajib kakitangan awam tidak akan dilanjutkan melebihi usia 60 tahun.