Bersama kerajaan hadapi pertarungan COVID-19, krisis ekonomi

Dr K R Salleh
Mei 3, 2020 12:30 MYT
Terpulang pada rakyat untuk menyesuaikan diri dengan budaya normal baharu selepas melalui episod ngeri ekoran penularan COVID-19. - Gambar hiasan
MALAYSIA sebetulnya berada di landasan yang tepat dalam menangani krisis pandemik COVID-19 menerusi kerjasama akrab semua pihak bertanggungjawab.
Demikian juga dalam memastikan pengurusan krisis ekonomi yang turut mencetus kebimbangan dunia turut ditangani dengan berhemah oleh kerajaan.
Artikel ini mengupas panjang lebar usah-usaha yang diambil oleh kerajaan selain menggariskan hal-hal yang perlu diberi tumpuan oleh rakyat secara keseluruhan untuk bersama-sama kerajaan kembali memakmurkan bumi bertuah, Malaysia.
1. Pada dasarnya, kerajaan telah merangka enam metodologi tersendiri yang dirasakan bernas, tepat dan terserlah sebagai senjata ampuh bagi menghadapi dua pertarungan dalam satu masa iaitu pertarungan krisis pandemik virus COVID-19 dan pertarungan krisis kemelesetan ekonomi negara.
2. Menelusuri intipati Perutusan Khas Hari Pekerja, kita sehaluan dengan konklusi Perdana Menteri bahawa metodologi pertama iaitu ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak COVID-19 dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan metodologi kedua iaitu membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi, yang telah disemai oleh kerajaan sewaktu bermulanya PKP, kini telah pun membuahkan hasilnya.
3. Tiada siapa yang boleh menafikan keberhasilan ini. Metodologi pertama menampilkan dua kejayaan drastik lagi efektif sehingga dikagumi dunia iaitu pengurangan drastik mangsa serangan COVID-19 domestik kepada sekitar 30 kes dan peningkatan mangsa sembuh yang melebihi 3,000 kes.
Manakala metodologi kedua pula menampilkan kemantapan kantung kewangan kerajaan yang telah dibelanjakan sebahagian darinya untuk rakyat melalui pembayaran Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Sara Hidup, subsidi gaji dan sebagainya selain penawaran pelbagai fasiliti permodalan, subsidi dan geran yang bisa menopang bisnes bisnes terutamanya sederhana kecil yang kian senget dan hampir rebah. Hakikatnya ini semua terjadi dalam tempoh dua bulan penguatkuasaan PKP.
4. Atas rentetan kejayaan ini maka ia bukan sekadar melegakan kerunsingan nurani rakyat, malah memutik bunga bunga keyakinan terhadap kebijaksanaan dan kewibawaan Perdana Menteri dan kerajaan dalam memenangi kedua-dua pusingan awal pertarungan krisis tersebut yang berinspirasikan #KitaMestiMenang.
Walaupun begitu, kita masih berbaki empat pertarungan krisis lagi yang mesti dimenangi. Maka pada hari Jumaat yang mulia kelmarin, Perdana Menteri telah meuar-uarkan bahawa kerajaan berada di posisi terbaik untuk merealisasikan metodologi ketiga iaitu menjana semula atau restart aktiviti ekonomi di seluruh negara secara teratur, terkawal dan berhati-hati melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB bermula 4 Mei 2020.
Sungguhpun PKPB ini menceriakan kembali sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial yang telah dilesukan sepanjang tempoh PKP, namun, jika ia mendambakan perhimpunan ramai dan mendedahkan rakyat kepada risiko jangkitan virus COVID-19 tetap juga tidak diizinkan.
5. Sememangnya diakui bahawa kehadiran metodologi ketiga yang tidak disangka sepantas ini telah membawa mesej betapa Perdana Menteri dan kerajaan benar-benar prihatin dengan denyut nadi rakyat yang semakin melemah akibat kehilangan punca pendapatan, kemerosotan peluang perniagaan dan kesuraman prospek kerjaya.
Idaman sebenar rakyat pada ketika ini tidak lain tidak bukan untuk menemukan semula kehidupan berkerjaya atau berusahawanan sebagai mata pencarian yang telah hilang.
Bagi peniaga, ingin membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, mahu beroperasi semula sementara pekerja pula, mahu berkhidmat semula.
6. Rata rata rakyat menyambut baik keperihatinan krajaan yang diterjemahkan oleh metodologi ketiga dan menyokong keberanian kerajaan untuk mengizinkan rakyat bertebaran di seluruh pelosok tanah air untuk mencari rezeki atau sesuap nasi atau hatta kais pagi makan pagi kais petang makan petang asalkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.
7. Pada hemat saya, metodologi ketiga menawarkan pilihan buat rakyat sama ada mahu berpaksikan kepada old norms atau new norms. Namun jika kita mengenali kaca dan permata, tentunya kita bisa menghargai betapa besarnya pengorbanan dan kesabaran rakyat menyesuaikan diri duduk di rumah demi mematuhi PKP dan membudayakan new norms seperti penjarakan sosial, pemakaian topeng muka, tidak berjabat tangan dan sentiasa membasuh tangan.
Ekoran dari keterampilan pengorbanan dan kesabaran rakyat yang luar biasa sifatnya, inilah yang menjadi kunci kejayaan dalam dua metodologi sebelum ini selain memanifestasikan tanah air yang aman dan damai tanpa tempikan demonstrasi atau gegak gempita kepanikan awam.
Malah rakyat ini juga kini dipandang dunia dan dihormati kerana ketekunan disiplin mereka berjaya membawa keluar tanahair dari kepompong pandemik COVID-19.
Maka bukankah paparan kesemua peristiwa ini membayangkan bahawa rakyat adalah HERO yang sebenar-benarnya?
8. Maka saya kuat berpendapat bahawa rakyat kita sebagai warga yang baik, patuh dan yang lebih utama lagi ialah berdisiplin tidak akan mensia-siakan peluang dan ruang yang ditawarkan oleh metodologi ketiga ini dan sudah pastinya mematuhi kehendak SOP selain berhati-hati dalam tingkah lakunya.
Walaupun begitu, bagi para majikan tidak boleh disangkal akan adanya peningkatan kos operasi yang terbit dari pematuhan SOP ini. Dalam hal ini, majikan tidak usah berasa terbeban atau sengaja terlepas pandang.
Sedarilah with power comes responsibility maka persoalan kesihatan dan keselamatan pekerja jangan sesekali dikesampingkan. Malah elok juga jika pihak Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dapat membantu para majikan dalam mengadaptasikan SOP tersebut secara optimum.
9. Apapun juga, kita mengimpikan metodologi ketiga ini berjaya mencapai matlamatnya. Kita juga mengimpikan supaya pengorbanan dan kesabaran rakyat sepanjang dua bulan lalu dibalas dengan limpahan rezeki dan rahmat yang berpanjangan yang berupaya meletakkan semula tanah air dalam peta dunia sebagai Harimau Asia tetapi dalam persekitaran new norms.

* Dr. K R Salleh merupakan Pengerusi Kelab Usahawan dan Professional Malaysia (MYPEC).
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#Bantuan Prihatin Nasional #Bantuan Sara Hidup #kemelesetan ekonomi #KitaMestiMenang #Kolumnis AWANI #krisis #metodologi #new norms #old norms #Pandemik COVID-19 #perintah kawalan pergerakan
;