Bersalah rogol pembantu rumah, Paul Yong dihukum penjara 13 tahun, dua sebatan
Abd Razak Mohd Ali
Julai 27, 2022 11:08 MYT
Julai 27, 2022 11:08 MYT
IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, tiga tahun lalu.
Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu hari ini selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan, iaitu pasport tertuduh, diserahkan kepada mahkamah.
Hakim ketika menjatuhkan hukuman berkata, sebagai majikan, tertuduh sepatutnya melindungi mangsa, lebih-lebih lagi mangsa merupakan seorang warga asing yang datang untuk mencari rezeki.
Beliau berharap, hukuman itu akan menjadi pengajaran kepada mereka yang berniat untuk berbuat perkara sama.
Terdahulu, Rajpal memohon mahkamah mengenakan hukuman minima dan mengenepikan hukuman sebatan kerana tertuduh banyak berjasa kepada masyarakat sepanjang menjadi ADUN selama sembilan tahun.
Katanya, tertuduh juga menyara seorang isteri yang tidak bekerja di samping empat anak yang masih belajar.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Azlina Rasdi memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana kesalahan itu adalah serius dan ia meragut maruah mangsa sehingga menyebabkannya trauma.
Katanya, sebagai ADUN, tertuduh sepatutnya menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada orang lain.
Sementara itu, Setiausaha Pertama Kedutaan Indonesia ke Malaysia, Junjungan Sigalingging ketika ditemui di luar mahkamah berkata, pihaknya berpuas hati dengan keputusan tersebut.
Menurutnya, keputusan itu membuktikan sistem perundangan Malaysia mampu memberi keadilan.
Pada 7 Disember 2021, Paul Yong diperintah membela diri terhadap tuduhan merogol selepas pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap pertuduhan berkenaan.
Sepanjang prosiding tersebut, pendakwaan dikendalikan Azlina, dengan dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Mohd Fitri.
Pada 23 Ogos 2019, Paul Yong yang ketika itu Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Negeri Perak didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.
Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 dan 9.15 malam, 7 Julai 2019.
Pertuduhan terhadapnya dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.