Bersalah atau tidak dera Bella, nasib Siti Bainun diketahui 3 Mei nanti

Astro Awani
Mac 9, 2023 10:30 MYT
Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down yang dikenali sebagai Bella. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR : Keputusan pertuduhan terhadap Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan Sindrom Down dikenali sebagai Bella, akan diketahui 3 Mei ini.
Perkara itu ditetapkan selepas pihak pembelaan selesai memanggil lapan saksi.
Menurut laporan Berita Harian, peguam Mohammad Farhan Maaruf yang mewakili pengasas Rumah Bonda itu memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen, pihaknya menutup kes selepas saksi pembelaan kelapan, pensyarah kanan bidang psikologi perkembangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Abdul Rahman Ahmad Badayai selesai memberi keterangan, petang ini
"Pihak pembelaan tiada mempunyai saksi lain, dengan berakhirnya keterangan saksi pembelaan kelapan, pihak kami menutup kes hari ini," katanya memetik laporan BH.
Keputusan sama ada Siti Bainun bersalah atau sebaliknya akan diketahui pada tarikh yang dinyatakan, kata hakim Izralizam Sanusi.
"Mahkamah merekodkan pihak pembelaan menutup kes pada hari ini. Mahkamah mengarahkan pihak-pihak mengemukakan hujahan bertulis di akhir kes pembelaan dan diserahkan kepada pihak lawan. Tidak mahu ada komen atau aduan tidak menerima.
"Jadi 7 April ini untuk hujahan dikemukakan dan diberikan kepada lawan masing-masing. Sekiranya ingin menjawab, maka saya berikan tarikh hujahan balas selama seminggu yang mana pihak-pihak kemukakan hujahan balas pada atau sebelum 14 April ini," ujar beliau.
Prosiding pada hari ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zilfinaz Abbas dan Shakira Aliana Alias.
Terdahulu, Siti Bainun diarah untuk membela diri selepas atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella sehingga mengalami luka teruk di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Sekiranya didapati bersalah, Siti Bainun boleh berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
#Bella #Siti Bainun Ahd Razali #penderaan #rumah bonda