Bersabung nyawa demi memastikan bekalan elektrik tidak putus

Rahimah Abdullah
Julai 7, 2016 08:28 MYT
Perasaan gayat dan takut dengan risiko terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi dianggap sebagai rencah hidup bagi Unit Talian Hidup TNB. - Astro AWANI
Jika diberi peluang berada di atas menara litar, apakah yang terlintas di fikiran anda?
Pastinya, perasaan gayat dan takut dengan risiko terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi.
Namun, bagi Unit Talian Hidup Tenaga Nasional Berhad (TNB), risiko itu hanya dianggap sebagai rencah hidup.
Dengan ketinggian kira-kira 100 meter, menara litar di sini membawa 275 kilovolt arus elektrik dari Pelabuhan Klang ke Bukit Raja.
Tugas pasukan ini ialah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan menukar penebat bagi memastikan bekalan elektrik kepada pengguna dapat disalurkan tanpa sebarang gangguan.
Bekerja dengan talian yang masih hidup pastinya satu perkara yang menggerunkan,
Namun, jika mematuhi setiap peraturan keselamatan ditetapkan, risiko jatuh dan terkena renjatan elektrik dapat dielakkan.
"Untuk bekerja unit talian hidup ini risiko tinggi, pertama kerja di tempat tinggi, kerja panjat keselamatan tinggi risiko jatuh ada tetapi dengan latihan, dan risiko kemalangan dapat dielakkan," kata Jurutera Unit Talian Hidup TNB, Mohd Firdaus Jalaluddin.
Bagi pasukan ini, musuh utama mereka ialah air.
Sekiranya hujan, kerja-kerja penyelenggaraan tidak boleh teruskan untuk mengelakkan terkena renjatan elektrik.
Dengan kekuatan 16 anggota pasukan, cuaca panas terik bukan halangan namun, atas kekuatan semangat untuk memberikan perkhidmatan kepada pengguna, semua tugas dilakukan dengan tenang.
Dua aspek keselamatan diutamakan pasukan iaitu semasa memanjat dan sewaktu bekerja di atas menara litar.
Jika ia berjaya dilakukan, risiko kemalangan akan dapat dielakkan.
#bekalan elektrik #menara litar #TNB #Unit Talian Hidup Tenaga Nasional Berhad
;