Berputih mata 8 tan ikan air tawar mati

Norfarhiza Mohd Atar
September 15, 2022 07:15 MYT
Sebahagian ikan air tawar yang mati di sebuah kolam memancing di Kampung Salak, Merapoh, Lipis, pada Rabu dan Khamis. - Foto Astro AWANI
LIPIS: Sebuah kolam memancing di Kampung Salak, Merapoh, di sini, menanggung kerugian selepas kira-kira lapan tan ikan air tawar mati, awal pagi Rabu.
Kejadian disedari pengurus kolam, Raja Noor Ezmie Alil Raja Noor Ezam, 24 tahun, pada jam 7.30 pagi ketika dia mahu memulakan operasi di kolamnya.
"Masa sampai di kolam semalam, saya tengok banyak ikan dah timbul (mati). Hari ini bertambah banyak. Malah, bau busuk sudah memenuhi persekitaran kawasan kolam dengan bangkai ikan.
"Paling terkilan, pelbagai jenis ikan air tawar termasuk patin, rohu, jelawat dan tilapia yang berat dalam anggaran lima kilogram ke atas, tidak dapat diselamatkan," katanya kepada Astro AWANI di sini semalam.
Raja Noor Ezmie berkata, insiden tersebut kali pertama berlaku sejak kolam terbabit beroperasi dua tahun lalu.
Menurutnya, kolam berkenaan sering menjadi tumpuan kaki pancing yang datang dari sekitar Lipis dan Gua Musang, Kelantan.
"Kami terpaksa berputih mata kerana banyak kerugian terpaksa ditanggung termasuk dari segi wang ringgit, benih ikan dan makanan. Kos kerugian melebihi RM60,000.
"Laporan polis telah dibuat dan sampel air telah diambil oleh jabatan berkaitan untuk siasatan," katanya.
#ikan air tawar #ikan mati #kolam memancing #Merapoh
;