Berpuasa 18 jam sehari di Jerman, alah bisa tegal biasa buat pelajar Malaysia

Faris Danial Razi
April 21, 2022 10:00 MYT
Pelajar Malaysia di Jerman perlu menjalani ibadah puasa untuk tahun ini lebih singkat iaitu lebih kurang 15 hingga 16 jam sehari kerana perubahan waktu ketika musim panas.
KUALA LUMPUR: Jika di Malaysia, umat Islam yang menjalani ibadah berpuasa hanya perlu menahan lapar dan dahaga selama 13 jam.
Namun, kalau anda ingin tahu, ada beberapa negara yang mana tempoh berpuasanya lebih panjang kerana tempoh siang yang sangat lama.
Contohnya di Jerman yang merupakan antara negara yang mempunyai tempoh berpuasa paling lama iaitu selama 18 jam - iaitu hampir seharian!
Namun bagi pelajar Malaysia yang kini berada di Nuremberg, Jerman, Syaleen Fairuzza Sharuddin, tempoh berpuasa untuk tahun ini lebih singkat iaitu lebih kurang 15 hingga 15 jam sehari kerana perubahan waktu ketika musim panas.
“Pada tahun ini kami berpuasa lebih kurang 15 hingga 16 jam dan durasi di antara berbuka dan sahur akan menjadi lebih singkat menjelang akhir Ramadan kerana perubahan waktu siang yang lebih panjang daripada waktu malam menjelang musim panas.
“Waktu bermula Tarawih di sini agak lambat, lebih kurang jam 9.30 malam jadi selalunya saya akan solat di rumah untuk elak pulang lewat dari masjid melainkan ada rakan lain yang ke masjid untuk menunaikannya secara berjemaah,” jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI.
Apa perbezaan berpuasa di Jerman dan Malaysia?
Sudah tentu bagi Syaleen, ia berbeza sekali dengan Malaysia kerana di sana tiada bazar Ramadan, yang memang sedia maklum kita tahu merupakan satu tarikan setiap kali tiba bulan puasa.
“Setiap tahun saya akan sediakan jadual menu berbuka dan sahur bagi memudahkan perancangan di bulan Ramadan.
“Untuk hilangkan rasa rindu juadah bazar, saya akan masak sendiri kuih-kuih tradisional seperti bingka ubi dan tepung pelita.
"Situasi paling menarik dan dinantikan setiap kali menjelang Ramadan ialah iftar besar-besaran bersama komuniti Malaysia di kawasan kami.
“Sekurang-kurangnya sekali kami akan berbuka beramai-ramai, setiap orang akan membawa sekurang-kurangya satu juadah untuk berbuka.
“Contohnya, di daerah Franken komuniti Malaysia sangat ramai (sekitar 30 hingga 40 warga Malaysia), jadi suasana berbuka sangat meriah tetapi sejak COVID-19, “gathering” untuk iftar sangat terhad jadi jika tidak bersendirian kami akan berbuka bersama teman rapat sahaja, mungkin sekali dalam seminggu,” tambahnya lagi.
Tambah Syaleen yang juga pelajar peringkat sarjana jurusan kimia di Universiti Technology Hochschule Nuremberg, selain merindukan bazar Ramadan, suasana solat Tarawih dan bersahur bersama keluarga merupakan perkara yang paling dirinduinya.
“Saya sangat rindukan suasana Tarawih di masjid dan bersahur bersama ahli keluarga.
“Perbezaan waktu di antara Malaysia dan Jerman membolehkan saya akan telefon ahli keluarga semasa saya bersahur supaya saya tidak terlalu sunyi bersahur sendirian," ceritanya lagi.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
#Jerman #pelajar #Bazar Ramadan #jendela ramadan
;