Berpaut pada batang paip, terpaksa rentas arus deras untuk timba ilmu

Nickyson Nyambar
Julai 28, 2022 17:24 MYT
Video tular yang dikongsikan menerusi FB milik Siti Hafizah Leezah memaparkan beberapa murid terpaksa berpaut pada batang paip bagi menyeberang sungai untuk ke sekolah. - Sumber foto FB Siti Hafizah Leezah
KUALA LUMPUR : Terpaksa berpaut pada batang paip besi yang licin, merentas deras demi menimba ilmu.
Begitulah gambaran senario yang terpaksa dilalui oleh segelintir murid dari Kampung Mansiang Baru Keningau di Sabah.
Sebelum ini Astro AWANI pernah melaporkan situasi seumpamanya melibatkan murid-murid sekolah rendah dari Sekolah Kebangsaan (SK) Nangkawangan di daerah Nabawan, semata-mata untuk hadir ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan yang layak seperti kanak-kanak lain.
Namun, episod ini bagaikan tiada kesudahan.
BACA: Video tular pelajar sekolah naik rakit, 'dron' seberang sungai di Nabawan
Difahamkan, menerusi perkongsian di media sosial Facebook milik Siti Hafizah Leezah, situasi terbaharu yang berlaku di Keningau itu sebelum ini pernah mendapat perhatian wakil rakyat di situ.
Pemerhatian Astro AWANI mendapati, ramai netizen menyuarakan kesayuan mereka melihat anak-anak kecil terpaksa bergadai nyawa untuk menimba ilmu.
Keadaan memburuk ketika monsun kerana batang besi jambatan berkenaan menjadi lebih licin, sekali gus meningkatkan lagi risiko nyawa mereka.
"Setiap kali musim hujan, terpaksa mengambil risiko melalui paip itu, biarpun licin.
"Sudah dimohon jambatan gantung, dan wakil rakyat bertanggungjawab sudah memberi janji, jambatan akan dibuat pada April lalu.
"Kami sebagai penduduk, lega dan gembiranya dengan janji itu.
"Tetapi tunggu punya tunggu, sekarang bulan Julai, belum ada tanda-tanda pembinaan.
"Tunggu ada nyawa melayang, mungkin selepas itu, baru akan dibina," luahnya menerusi perkongsian itu.
Beliau berharap, dengan perkongsian itu dapat mencetus perhatian untuk membina jambatan yang sesuai demi kehidupan masyarakat di sana.
Astro AWANI masih mencuba untuk mendapatkan komen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tulid, Flovia Ng berkenaan perkara ini.
#Keselamatan murid #Kampung Mangsian Baru Keningau #jambatan di Nabawan #Sekolah Kebangsaan Nangkakawangan
;