Berpakat curi lembu: Pegawai dan anggota ATM antara lapan diberkas

Astro Awani
Jun 26, 2020 19:30 MYT
Semua lelaki ini ditahan di lapan lokasi berbeza antara jam 1 pagi hingga 7.30 pagi pada Jumaat. - Gambar: Polis Johor
Polis Johor menangkap lapan lelaki termasuk seorang pegawai dan tiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang aktif melakukan kegiatan mencuri lembu di Johor sejak Mei lepas.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, turut diberkas ialah dua orang polis bantuan, seorang penjawat awam dan seorang orang awam.
Menurutnya, semua lelaki itu ditahan di lapan lokasi berbeza antara jam 1 pagi hingga 7.30 pagi pada Jumaat.
“Tangkapan dibuat susulan laporan kehilangan lembu sejak 16 Mei hingga 24 Jun.
“Ketika serbuan, polis turut menemukan 73 plastik berisi daging yang sudah dilapah untuk dijual secara penghantaran tunai (COD).
“Polis turut merampas selaras senapang patah, sebuah pacuan empat roda, 76 butir peluru, dua kelongsong peluru, sebilah kapak, pisau kecil dan peti sejuk beku,” katanya.
Tambahnya, semua suspek berusia 27 tahun hingga 48 tahun direman tiga hari bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960,” ujarnya.
#Angkatan Tentera Malaysia #ATM #curi #lelaki #lembu #Malaysia #penjawat awam #polis #polis bantuan #siasatan #suspek #tentera
;