Bernie Sanders dipilih semula di Vermont, peroleh penggal keempat di Senat AS
Bernama
November 6, 2024 11:45 MYT
November 6, 2024 11:45 MYT
WASHINGTON: Senator bebas Bernie Sanders dari Vermont, Amerika Syarikat menewaskan pencabar dari Republikan, Gerald Malloy bagi memperoleh penggal keempat di Senat AS, lapor Agensi Anadolu memetik ramalan media AS pada lewat Selasa.
Senator progresif berusia 83 tahun itu akan meneruskan kerjaya di Washington, memulakan penggal baharu selama enam tahun mewakili negeri terbabit.
Sanders, yang kali pertama dipilih ke Dewan Perwakilan AS pada 1991, beralih ke Senat pada 2007.
Beliau turut bertanding untuk jawatan presiden pada 2016 dan 2020.
Walaupun beliau dikenal pasti sebagai seorang bebas, Sanders dijangka terus bekerjasama rapat dengan Parti Demokrat, seperti yang dilakukannya sepanjang perkhidmatannya di Senat.
Beliau juga menyokong Naib Presiden Kamala Harris dalam usahanya untuk bertanding bagi jawatan presiden AS pada 2024.
-- BERNAMA