Berniaga dalam keadaan kotor, enam warga asing ditahan

Adie Sufian Zulkefli
Februari 14, 2021 18:06 MYT
Kedai runcit menjual barangan basah ini dipercayai disewa daripada warga tempatan. - Foto Jabatan Imigresen Malaysia
ALOR SETAR: Kegiatan sekumpulan warga asing yang membuka kedai runcit basah dan menjalankan perniagaan menyimpan, menyembelih dan menjual ayam di sebuah rumah kedai dua tingkat terbongkar dengan penahanan enam lelaki warga Bangladesh di Amanjaya, Sungai Petani, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah Zuhair Jamaludin berkata kegiatan berniaga dalam keadaan kotor mereka terbongkar selepas pihaknya melakukan pemeriksaan dalam operasi ‘Op Sapu’ di sekitar Sungai Petani, malam tadi.
Op Sapu yang bermula pukul 5 petang hingga 11 malam itu melibatkan seramai 17 pegawai dan anggota Imigresen yang menjalankan pemeriksaan di sembilan lokasi berasingan di bandar itu.
Zuhair berkata, kedai runcit menjual barangan basah ini dipercayai disewa daripada warga tempatan.
Katanya, hasil pemeriksaan anggota dan pegawai JIM turut mendapati, keadaan di kedai runcit itu terlalu kotor malah turut dijadikan tempat penyembelihan ayam dan penyimpanan ayam hidup sebelum disembelih.
"Pemeriksaan di sebuah rumah kedai dua tingkat di Jalan Teratai, Amanjaya mendapati warga asing yang menyewa premis berkenaan daripada seorang warga tempatan telah membuka kedai runcit basah yang menjual ayam, ikan dan sayur-sayuran.
"Mereka juga menjadikan premis berkenaan sebagai tempat untuk menyimpan ayam hidup sebelum proses menyembelih dan menjual. Semasa serbuan, kesemua warga asing yang berumur antara 22 hingga 35 tahun itu sedang menjalankan tugas masing-masing," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu enam lelaki Bangladesh yang berusia antara 22 hingga 35 tahun ditahan kerana tidak memiliki sebarang pas yang sah berada di negara ini dan tinggal lebih masa selepas pas tamat tempoh.
Kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.
Mereka juga turut dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 tiada sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa selepas tamat pas yang dikeluarkan.
Zuhair juga berkata pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut terhadap pemilik premis dan pemilik lesen perniagaan yang menyewa dan membenarkan warga asing berkenaan menjalankan perniagaan di rumah kedai itu.
"Kesemua mereka dibawa ke Klinik Kesihatan Alor Setar untuk saringan COVID-19 sebelum ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik," katanya lagi.
#Sungai Petani #Bangladesh #Alor Setar #Malaysia #COVID-19 #Imigresen #warga asing #kedai kotor
;