BERNAS sangkal produk beras ada campuran plastik
Bernama
Oktober 6, 2023 21:15 MYT
Oktober 6, 2023 21:15 MYT
SHAH ALAM: Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) memberi jaminan bahawa beras import yang dibekalkan oleh syarikat itu adalah tulen dan selamat untuk penggunaan orang ramai.
Dalam kenyataan hari ini, BERNAS memaklumkan pihaknya menyangkal dakwaan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab berhubung penularan mesej berantai melalui media sosial bahawa terdapat campuran beras plastik di dalam produk syarikat itu.
"BERNAS sentiasa memastikan tahap pematuhan piawaian yang tinggi dan pemantauan kualiti yang ketat di setiap peringkat perolehan bekalan beras import dan tempatan.
"Semua jenis beras import yang dibawa masuk ke dalam negara perlu melalui syarat ketat dan proses pemeriksaan kualiti yang rapi bermula di negara pembekal sehinggalah sampai ke negara ini," menurut kenyataan itu.
Syarikat itu menjelaskan bekalan beras yang dibawa masuk ke negara ini turut dibekalkan dengan sijil pengesahan kualiti dan spesifikasi beras yang dipantau rapi yang telah ditetapkan oleh kerajaan, bertujuan mencegah sebarang bentuk penyelewengan yang tidak diingini.
BERNAS ingin menasihatkan kepada orang ramai untuk tidak mempercayai berita palsu yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan sekiranya orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau mendapati wujudnya unsur yang mencurigakan bagi produk beras BERNAS yang dibeli, hantar e-mel aduan rasmi anda di information@bernas.com.my.
BERNAS juga menegaskan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan tidak berasas untuk menjatuhkan reputasinya.
-- BERNAMA