BERNAS pamer kelainan di Laman Padi MAHA 2024 kali Ini

Amzar Alif
September 19, 2024 21:24 MYT
Pengerusi BERNAS, Datuk Seri Rohani Adbul Karim dan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, KPKM bersama petugas lain melakukan lawatan ke Laman Padi di MAHA 2024. - Gambar BERNAS
Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menunjukkan komitmen kukuhnya dalam memastikan keselamatan makanan negara di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Sebagai rakan strategik kerajaan dalam industri beras negara selama lebih 30 tahun, BERNAS mengambil peluang ini untuk mempamerkan inovasi terbaharu dalam pertanian padi dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan industri ini.
MAHA 2024 yang bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’ memberi penekanan kepada kemajuan teknologi dan penglibatan komuniti dalam pertanian, selari dengan matlamat Bernas untuk terus mengukuhkan industri beras negara.
Model projek padi pulut Langkawi di bawah program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) turut dipamerkan di Laman Padi MAHA 2024, membolehkan para pengunjung melihat sendiri kualiti padi pulut yang dihasilkan.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Langkawi, Hashim Saad atau lebih dikenali sebagai Pak Teh, berkata pengusaha padi pulut di Langkawi kini mampu meningkatkan kualiti dan kuantiti tanaman mereka menerusi projek tersebut.
“Kita nak bangunkun padi pulut di keseluruhan Langkawi dan kita mintak BERNAS menerajui padi-padi di Langkawi ini termasuk padi biasa dan padi pulut. Baru-baru ini BERNAS juga telah memberikan jentera bagi membantu petani-petani menjalankan kerja-kerja pertanian".
“Kita nak besarkan lagi padi pulut ini di Langkawi kerana sekarang baru 200 lebih yang kita buat campur padi pulut dengan padi jawi. Jadi kita nak buka lagi sebab harga dia tinggi, harga padi pulut RM1,600 (per metrik tan) jadi apabila harga padi jawi naik maka padi pulut pon naik,” ujarnya.
Projek yang meliputi 540 hektar sawah padi ini akan memberi manfaat kepada 326 petani dan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun, dari 2024 hingga 2028.
Selari dengan pengumuman Perdana Menteri pada Sabtu mengenai peruntukan RM5 bilion untuk transformasi sektor pertanian, BERNAS menyambut baik langkah ini yang dijangka merancakkan lagi industri padi dan beras negara.
Oleh itu, Pak Teh juga berharap peruntukan diumumkan oleh Perdana Menteri itu akan turut membantu memperbaiki infrastruktur tanaman padi di Langkawi.
“Kita mintak agar duit RM5 bilion ini boleh buat saliran. Langkawi ini adalah luar MADA, saya juga ada buat surat kepada pihak kementerian untuk IADA masuk ke Langkawi agar dapat membaiki kawasan padi kerana padi di Langkawi padinya di atas, airnya di bawah berbeza dengan Sekinchan,” tambahnya lagi.
BERNAS sebagai peneraju program Smart SBB bagi Projek Padi Pulut di Langkawi, telah mula mengadaptasi teknologi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan mekanisasi moden dalam memajukan industri padi tempatan.
Usaha ini bukan sahaja meningkatkan pengeluaran beras tempatan, tetapi juga menarik minat generasi muda untuk menceburi bidang pertanian.
Pameran MAHA 2024 ini memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri bagaimana Bernas menerajui inovasi dalam pertanian padi dan beras, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan keselamatan makanan negara.
#MAHA 2024 #Padiberas Nasional Berhad BERNAS #Hashim Saad #padi pulut #Langkawi #laman padi #Smart SBB
;