Bermula sebagai peniaga burger, kini miliki 70 rangkaian hotel
Bernama
Ogos 20, 2021 12:50 MYT
Ogos 20, 2021 12:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun lepas menyebabkan sektor perhotelan negara kian nazak dan banyak hotel termasuk bertaraf lima bintang terpaksa gulung tukar dan menutup cawangan lantaran tidak mampu menampung kos operasi.
Namun, berbeza keadaannya bagi pengasas Hotel Zamburger, Norizam Tukiman, 40, apabila tempoh pandemik ini membuka ruang kepadanya untuk mengembangkan rangkaian hotel itu dengan berjaya mengambil alih 67 hotel butik termasuk tiga hotel di Indonesia dalam masa 15 bulan.
Kejayaan itu lantaran ramai pemilik hotel yang menawarkan kepadanya pada harga yang murah untuk mengambil alih perniagaan perhotelan kerana tidak sanggup menanggung kos operasi dan membayar gaji staf mereka.
"Kebanyakan pemilik hotel sudah berputus asa kerana urusan perniagaan mereka menurun 99 peratus kesan daripada pandemik ini dan ada sesetengah hotel kosong, tiada yang menginap pun.
"Jadi bagi menyelamatkan industri perhotelan dan mengelakkan lebih ramai kehilangan pekerjaan, saya ambil alih hotel bajet dan butik dalam kategori tiga bintang ke bawah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Berasal daripada keluarga yang susah dan pernah tinggal di rumah setinggan, minatnya dalam bidang perniagaan mula tersemai sejak di bangku sekolah apabila terpaksa membantu ayahnya Tukiman Jasemo, 73, berniaga pisang goreng dan cakoi di tepi jalan demi menyara kehidupan.
Apabila usianya menginjak 16 tahun, Norizam memberanikan diri membuka gerai burger sendiri bermodalkan RM1,500 selepas membelinya daripada pemilik asal sewaktu tinggal di Kampung Tuah Jaya, Taman Perling, Johor.
"Komisen penjualan burger saya guna untuk tampung perbelanjaan harian. Selain gerai tepi jalan, saya juga jual burger untuk dihantar ke kantin pejabat dan pernah naik turun bas semata-mata mendapatkan pelanggan di perhentian bas Larkin," katanya.
Kemiskinan keluarganya tidak menghalang beliau untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat dalam jurusan Diploma Analisis Pelaburan, kemudian bekerja sebagai pakar runding pelaburan di sebuah bank di Johor.
Terkini, beliau turut menamatkan pengajian di peringkat 'Postgraduate Diploma in Financial Strategy' dari Universiti Oxford, England pada Jun lepas.
Mengadunkan pengalaman secara langsung berniaga burger dan pelaburan saham sebagai seorang remisier sejak lebih 20 tahun, Norizam kemudian berjaya mengasaskan jenama sendiri antaranya produk makanan sejuk beku, UZ Food Berhad, patti daging burger, Zamburger sebelum melangkah ke bidang perhotelan pada 2015.
Beliau ketika itu bermula dengan hanya tiga hotel iaitu dua hotel di Senai, Johor dan sebuah di Kota Warisan, Sepang, Selangor sebelum melebarkan empayar perniagaannya dalam sektor itu ketika pandemik bermula pada awal 2020.
Ditanya bagaimana beliau boleh mengambil alih hotel dengan jumlah yang banyak dalam waktu singkat, anak jati Johor itu berkata beliau menggunakan tiga strategi perniagaan iaitu membeli hotel, membeli 'perniagaan' hotel itu dengan bangunan hotel itu masih pemilik asal dan ketiga ialah melalui pajakan.
"Contohnya, untuk mengubah suai sebuah hotel 30 bilik kos purata RM3 juta dan jumlah itu agak mahal, jadi apa saya boleh buat untuk sebuah hotel sedia ada saya pajak dengan pemilik asal dalam anggaran RM15,000 hingga RM20,000 sebulan untuk 15 hingga 20 tahun berbanding saya keluar duit RM3 juta untuk satu hotel.
"Kalau setahun saya tanggung sekitar RM240,000 untuk satu hotel, jadi perkara itu saya anggap adalah pelaburan atau kos saya membina sebuah hotel dan dengan harapan industri perhotelan ini kembali pulih tahun depan," katanya yang menyasarkan untuk memiliki 100 hotel menjelang akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Norizam berkata rangkaian hotelnya turut menampilkan imej patuh syariah dengan syarat antaranya tiada unsur haram dalam perniagaan dan hanya pasangan berkahwin dibenarkan menginap di dalam sebuah bilik.
Mengenai nama Zamburger di hotelnya yang kelihatan mungkin tidak komersial seperti nama hotel lain, pemilik bola sepak Kelantan FC itu berpendirian pemilihan nama Zamburger dibuat bagi membuktikan peniaga burger sepertinya boleh berjaya jika mempunyai cita-cita dan keazaman.
-- BERNAMA