Bermula hanya sekadar hobi, ahli perniagaan tekad buka zoo

Bernama
Februari 16, 2024 06:30 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris (kiri) diiringi Zakaria (tengah) ketika melawat Zoo Rimba Razia pada Jumaat. - Foto BERNAMA
KUALA BERANG: Bermula dengan hobi memelihara binatang, seorang ahli perniagaan melangkah lebih jauh apabila memutuskan untuk membuka zoo yang dibuka kepada orang awam di Kampung Dusun, Hulu Terengganu, di sini.
Pemilik Rimba Razia Petting Zoo, Datuk Seri Zakaria Abdul Razak berkata, pada awalnya beliau hanya memelihara beberapa spesies binatang seperti burung unta kerana minat selain dijadikan akiviti mengisi waktu senggang.
Bagaimanapun, lama-kelamaan bilangan haiwan yang dibelanya semakin banyak menyebabkan beliau terpaksa menanggung kos agak tinggi untuk makanan dan kerja-kerja pembersihan haiwan peliharaannya itu.
"Bela binatang ini satu terapi buat saya. Bermula dengan hanya dua tiga spesies, ia bertambah dari semasa ke semasa dan kos pemeliharaannya juga meningkat.
"Dari situ saya dapat ilham untuk buka sebuah zoo dan beri peluang kepada orang ramai untuk lebih mengenali haiwan serta pada masa sama dapat menampung kos operasi," katanya ketika ditemui di Rimba Razia Petting Zoo, di sini, semalam.
Zakaria berkata, zoo yang berkeluasan lebih satu hektar itu kini dihuni lebih 400 haiwan daripada 100 spesies termasuk kanggaru, alpaca, unta, keldai, capybara, musang dan rakun yang dibeli dari Eropah, Jepun, Thailand dan Australia.
Selain itu, katanya, zoo tersebut turut menempatkan pelbagai jenis haiwan reptilia dan spesies burung yang mudah dijaga serta mesra pengunjung.
Menurutnya, bagi melancarkan operasi zoo tersebut, beliau mengambil 20 pekerja termasuk doktor bagi memantau tahap kesihatan haiwan di situ.
"Sejak dibuka pada Julai lepas, sambutan orang ramai amat menggalakkan dengan purata pengunjung antara 1,000 hingga ke 2,000 orang sehari.
"Bagaimanapun, saya tidak meletakkan sasaran pengunjung sebagai keutamaan sebaliknya memadai hasil jualan tiket dapat menampung kos operasi," katanya.
Selain untuk kepuasan peribadi, Zakaria turut berharap kewujudan zoo tersebut mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan Terengganu sekali gus menjana ekonomi penduduk terutama di kawasan sekitar.
Menurutnya, selain zoo yang berkonsepkan mesra pengunjung, beberapa kemudahan lain turut disediakan seperti permainan paintball dan aktiviti kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV).
"Bayaran tiket masuk untuk dewasa ialah RM20 manakala warga emas dan kanak-kanak RM15 seorang. Bagi kanak-kanak yanng berketinggian 90 sentimeter ke bawah masuk adalah percuma begitu juga dengan golongan orang kurang upaya (OKU).
"Waktu operasi ialah enam hari seminggu bermula 12.30 tengah hari hingga 2.30 petang. Setiap Selasa zoo ditutup untuk kerja pembersihan dan penyelenggaraan," katanya. - BERNAMA
#Rimba Razia Petting Zoo #Zakaria Abdul Razak #Kampung Dusun #ahli perniagaan
;